Sorting by

×

RM83.67 JUTA LAKSANA BAS.MY DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Melaka menerima peruntukan berjumlah RM83.76 juta daripada Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi melaksanakan perkhimatan bas henti-henti, BAS.MY.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk tempoh lima tahun kepada syarikat pengendali swasta dalam menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Menurut beliau, di Melaka sahaja, sebanyak 51 buah bas meliputi pelbagai saiz, termasuk bas mini, ‘mini low floor’, selain empat buah bas elektrik bagi menyokong dasar pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

“Kesemua bas ini akan beroperasi setiap hari membabitkan pelbagai laluan merentasi empat kawasan pihak berkuasa tempatan dan kontrak ini diberikan kepada pengendali ini selama lima tahun.

“Jadi untuk tempoh lima tahun, pengendali sama, kontrak sama dan ia memberikan satu kepastian kepada mereka (pengendali) supaya memastikan perkhidmatan ini dijalankan dengan baik dengan lancar dan tanpa apa-apa gangguan.

“Kita juga kita melihat bahawa model ini memang berkesan kerana ia tidak memberikan risiko kepada pengendali, selain ia juga lebih menjimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian BAS.MY Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Morten Walk, Kampung Morten, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta lain-lain kenamaan.

Menurut Anthony, walaupun peruntukan tersebut dilihat amat besar namun ia merupakan sebahagian daripada bentuk subsidi yang diberikan kerajaan untuk rakyat dalam aspek pengangkutan awam.

Tambah beliau, bas tersebut turut menawarkan tambang percuma golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah menerusi Kad Konsesi BAS.MY yang hanya perlu didaftar sekali sahaja dengan bayaran RM10.

“Kita berharap lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan BAS.MY ini memandangkan jumlah penumpang yang direkodkan masih rendah iaitu sekitar 60,000 sahaja sepanjang September.

“Kita yakin perkhidmatan bas ini boleh membawa ratusan ribu penumpang pada setiap bulan memandangkan pelbagai inisiatif yang telah kita perkenalkan, termasuklah aps bulanan RM50 yang dapat memberi penjimatan kepada orang ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post TERIMA KASIH KERAJAAN NEGERI MELAKA – AARON CHIA
Next post GUNA BAHAN TERBUANG CIPTA ‘DAPILA’
Ubah saiz-+=