RM8 JUTA NAIK TARAF JEJANTAS MELAKA SENTRAL
AYER KEROH 26 November – Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan mengindahkan Jejantas Melaka Sentral yang bakal menjadi ikon baharu pelancongan Negeri Melaka.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, jejantas yang berkonsepkan seakan Pintasan Saloma di Kuala Lumpur itu bakal siap sepenuhnya pada Disember ini dan dirasmikan pada awal Januari tahun hadapan.
Mengulas lanjut Shadan berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, akan menyempurnakan majlis perasmian jejantas itu sebelum kemudahan itu dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.
“Kerja-kerja naik taraf hampir selesai, kemajuan projek kini sudah mencapai 90 peratus. Menariknya bumbung jejantas akan dihiasi sistem pencahayaan yang menggunakan ribuan unit lampu diod pemancar cahaya (LED).
“Sudah pasti apabila beroperasi nanti akan menceriakan suasana malam di kawasan itu. Lebih menarik, lampu LED ini akan bertukar warna mengikut tema ditetapkan. Contoh jika sambutan Hari Kebangsaan kita akan persembahan warna lampu LED sesuai dengan semangat kemerdekaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berharap Jejantas Melaka Sentral akan menjadi satu daripada ikon pelancongan yang menjadi lokasi wajib singgah dalam kalangan pengunjung dan pelancong bercuti di negeri ini.
“Kami juga sedang merangka satu sistem bagi memastikan keselesaan dan memudahkan orang ramai yang singgah untuk bergambar di Jejantas Melaka Sentral ini apabila dibuka nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.