Sorting by

×

RM8 JUTA BAIK PULIH 13 KLINIK KESIHATAN DAIF DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DUYONG 17 Mac – Sejumlah RM8 juta diperuntukkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih 13 buah klinik kesihatan daif di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, persekitaran dan fasiliti bagi kesemua klinik kesihatan itu perlu ditambah baik dalam tempoh terdekat bagi memberi keselesaan kepada rakyat khususnya pesakit yang menerima rawatan di premis terbabit.

“Hasil lawatan dan pemerhatian termasuk aduan diterima kita dapati fasiliti di kesemua klinik kesihatan yang tersenarai ini berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Keadaan ini bukan sahaja membuatkan pesakit tetapi juga kakitangan yang bertugas di sana tidak selesa malah ada juga keadaan yang boleh membahayakan pesakit.

“Peruntukan RM8 juta yang diterima itu akan disalurkan kepada 13 klinik kesihatan ini termasuklah Klinik Kesihatan Ujong Pasir dan Klinik Kesihatan Jalan Gereja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Ramadan 1446H Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, di Kampung Perigi Hang Tuah, semalam.

Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, kerja-kerja baik pulih itu akan dilaksanakan sejurus tender dianugerahkan kepada kontraktor yang terpilih selepas pemilihan dibuat.

“Sekarang pada peringkat keluar tender dan kita harap proses ini tidak akan mengambil masa yang lama kerana kerja-kerja baik pulih ini perlu dilakukan secepat yang mungkin.

“Ini kerana ada klinik kesihatan yang sistem pendingin hawa sudah tidak berfungsi, ruang menunggu yang sempit malah laluan yang licin apabila cuaca hujan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TUMBUK KEPALA PENUNGGANG MOTOSIKAL, LELAKI DITAHAN POLIS
Next post SWM KONGSI KEGEMBIRAAN RAMADAN