RM70 juta bukan hanya untuk bangunkan laman web tempahan vaksin- Khairy
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, RM70 juta itu juga bukanlah jumlah sebenar, sebaliknya ia adalah paras siling yang telah ditetapkan kerajaan bagi menjayakan program vaksinasi berskala besar itu.
“Itu adalah had siling dan tidak semestinya peruntukan sebenar yang akan dibelanjakan,” katanya pada sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya, hari ini.
Tular pertikaian mengenai peruntukan RM70 juta yang dikatakan untuk membangunkan laman web rasmi JKJAV, susulan ramai yang berhadapan dengan masalah teknikal ketika permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca, semalam.
Memperincikan peruntukan RM70 juta itu Khairy berkata, antara yang dibangunkan adalah integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data aplikasi MySejahtera dan sistem sedia ada Kementerian Kesihatan, sistem pengesanan pendaftaran dan vaksinasi, serta pembangunan perkhidmatan ‘Google map’ dalam aplikasi MySejahtera.
Khairy turut memohon maaf serta mengakui kelemahan sistem yang tidak berupaya memproses permintaan amat tinggi dengan cekap semalam.
“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang serius perkara ini, dan selepas tempahan ditutup semalam, kita telah memulakan siasatan berkenaan punca masalah serta kelemahan sistem yang diguna pakai,” katanya.
Beliau memaklumkan siasatan akan dijalankan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), bagi mengenal pasti serta mengatasi masalah berkaitan, untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar, akan mula mendapat janji temu suntikan vaksin COVID-19 bermula minggu pertama, bulan hadapan.
“Saya sudah tandatangan senarai nama pengamal media sebentar tadi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.