RM50 juta naik taraf fasiliti uzur di kawasan pelancongan
REMBIA 13 Dis. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf fasiliti kawasan pelancongan di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, dana tersebut merupakan peruntukan khas yang diterima daripada Kementerian Kewangan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) khusus untuk membantu pengusaha kecil di kawasan pelancongan membabitkan naik taraf atau membangunkan fasiliti yang sudah usang atau uzur.
Jelasnya, antara bentuk fasiliti yang boleh dibantu ialah seperti menaik taraf jeti serta projek menceriakan kawasan pelancongan yang terpilih.
“Seperti contoh di Gerik dan Lenggong, Perak, ada banyak jeti dan rumah bot yang diusahakan anak-anak muda. Jadi, kalau ada di antara fasiliti tersebut yang perlu dibantu melibatkan kos-kos kecil, kita akan segera hulurkan peruntukan.
“Semalam juga saya ada ke Kota Tinggi iaitu di Pantai Jason Bay. Saya dapati kawasan pantai itu mempunyai banyak pokok rhu yang cantik. Jadi saya akan bantu sebanyak RM1 juta untuk membangunkan pondok-pondok wakaf serta menaik taraf tandas awam di kawasan itu untuk menggalakkan lagi pelancongan di situ.
“Untuk itu, kita minta Exco Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri untuk memaklumkan kepada kita jika ada kawasan pelancongan yang kecil-kecil ini untuk dibangunkan atau dinaik taraf. Insyaallah kita akan beri kelulusan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek perumahan Taman Puncak Kasa Heights, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Dalam majlis sama, Zuraida turut mengumumkan cadangan untuk membangunkan satu lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibangunkan di mukim Ayer Panas, Jasin.
Jelasnya, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan tapak tanah seluas kira-kira 61.10 hektar milik Projek Perumahan PRIMA yang telah dibatalkan dan ditransformasi menjadi PPR yang merangkumi 1,000 unit rumah.