RM5 bilion, tujuh MoU permulaan untuk lonjakan ekonomi Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

DUBAI, 15 Mac – Angka RM5 bilion menerusi lima memorandun persefahaman (Mou) dan dua memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani di Melaka Week di Expo 2020 Dubai hari ini bakal menyaksikan ekonomi Melaka terkesan akibat COVID-19 kembali melonjak.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, angka itu juga melepasi sasaran RM500 juta yang ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada expo menjadi tumpuan dunia itu.

Katanya, tiga pemeteraian antara KAJ Development Sdn Bhd dengan beberapa pelabur akan memulakan semula projek Melaka Gateway, sekali gus mempercepatkan pembangunan koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Sulaiman mengakui akibat pandemik COVID-19 banyak pengusaha industri terpaksa menghentikan sementara operasi, malah beliau tidak menafikan ada pekerja diberhentikan.

“Jadi dengan tujuh MoU dimeterai saya harap ia serba sedikit mempercepatkan pemulihkan ekonomi, besarlah harapan saya kejayaan ini akan membuka peluang perniagaan dan pekerjaan terutama kepada rakyat negeri Melaka.

“Namun kita juga ada Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, saya yakin kalau ini dapat kita penuhi pelan strategik untuk meningkatkan semula ekonomi negeri Melaka, banyak lagi peluang pekerjaan mahupun peluang perniagaan dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU dan MoA antara syarikat utama Melaka dan pihak pelabur di Pavilion Malaysia, bersempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai, hari ini.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, kerajaan negeri menetapkan nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion setiap tahun.

Jelasnya dengan temeterainya tujuh perjanjian berkenaan kerajaan negeri sudah melepasi nilai pelaburan RM5 bilion bagi suku pertama 2022.

Dengan baki sembilan ke 10 bulan lagi dan negara kini dalam fasa peralihan ke endemik Sulaiman yakin ramai lagi pelabur akan datang ke Melaka.

Menurutnya, expo bertaraf dunia seperti Expo 2020 Dubai memberi banyak manfaat dan membuka peluang besar amat besar kepada negeri kecil seperti Melaka.

Jika diberi peluang untuk menyertai expo seumpana itu selepas ini Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan menjemput rakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan juga agensi berkaitan untuk melonjakkan semula ekonomi Melaka.

“Saya sudah minta pihak UPEN, memerhati dan melihat, sekiranya ada expo walaupun berskala kecil, elok kita dapat turut serta. Ini semata-mata untuk kita terus meningkatkan ekonomi negeri Melaka. Mahu atau mahu kita mesti merebut peluang-peluang ini.

“Hari ini dengan kehadiran ramai di Expo 2020 Dubai ini, saya yakin ada dalam kalangan pelabur mengenali negeri melaka, tidak kurang meninjau peluang yang ada di negeri kita.

“Secara tak langsung ianya dapat melonjakkan lagi negeri Melaka, mereka lebih mengenali melaka dengan kehadiran kita di expo ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2500
Kongsi :
Previous post Singkir terus jika terlibat doping
Next post Negeri kecil kini jadi perhatian pelabur dunia – Ab Rauf
Ubah saiz-+=