Sorting by

×

RM5.7 JUTA BANTU SK KAMPONG TENGAH KELUAR DARI ‘KEPOMPONG’ DAIF

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Tengah, di sini, yang sebelum ini dikategorikan sebagai daif kini berubah wajah apabila bakal ditransformasikan dengan pembinaan bangunan baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bangunan baharu itu akan membabitkan kos berjumlah RM5.7 juta, melibatkan skop kerja meroboh dan membina semula bangunan daif merangkumi empat bilik darjah, kantin, pondok pengawal dan dataran perhimpunan.

Jelas beliau, projek tersebut telah diluluskan Kementerian Pendidikan dan diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah sebagai Pegawai Penguasa, di mana ia dijangka siap pertengahan tahun depan.

“SK Kampong Tengah yang telah berusia 44 tahun merupakan antara sekolah daif yang diberi perhatian Kerajaan Negeri memandangkan kemudahan dan kelengkapannya dianggap serba kekurangan.

“Susulan itu, kita telah membawa perkara ini ke peringkat kementerian dan alhamdulillah pembinaan bangunan baharu ini telah diluluskan, sekali gus bakal memberikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada 230 murid dan para guru.

“Pastinya ia memberi satu nafas baharu kepada warga SK Kampong Tengah untuk terus mencipta lebih banyak kecemerlangan akademik sekali gus mencapai hasrat mengurangkan jurang pendidikan di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, penyelesaian segala kemelut yang melanda rakyat merupakan bukti usaha dan kesungguhan berterusan Kerajaan Negeri memastikan kesejahteraan hidup rakyat negeri ini terjamin.

Atas sebab itu, ujar beliau, Program W.R.U.R diilhamkan dengan mengambil pendekatan turun padang bagi menyantuni denyut nadi rakyat di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri Melaka, di mana ia telah bermula di N01 – Kuala Linggi pada 4 hingga 18 Januari.

“Saya ucapkan terima kasih kepada wakil rakyat dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menyantuni dan meleraikan isu-isu masyarakat di kawasan ini.

“Semoga usaha yang kita lakukan dapat melestari kesejahteraan rakyat di segenap pelusuk negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post PAYA RUMPUT PERLUKAN SEKOLAH BAHARU
Next post TANGKI RM16 JUTA SELESAI KEMELUT TEKANAN AIR RENDAH KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=