RM4.634 JUTA BAIK PULIH KEMUDAHAN DAN CERUN RUNTUH
MASJID TANAH 16 Oktober – Sejumlah RM4.634 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di tiga lokasi sekitar daerah Alor Gajah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pembaikan cerun runtuh di Jalan Rantau Panjang-Padang Kambing di Kampung Padang Besar.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, sementara itu RM800,000 pula disalurkan bagi kerja pembaikan dan pengukuhan cerun Jalan Rantau Panjang-Padang Kambing di Rantau Panjang.
“Turut dilaksanakan adalah kerja pembaikan dan pengukuhan cerun di Jalan Masjid Tanah-Brisu di Bukit Apit, membabitkan peruntukan berjumlah RM400,000. Semua lokasi ini memerlukan perhatian terperinci bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela dan langkah-langkah penambahbaikan kawasan terjejas akan diambil tindakan segera.
“Projek pembaikan ini akan mengambil masa selama kira-kira lima bulan dan akan bermula minggu depan,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas turun padang meninjau tiga lokasi cerun runtuh sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning dan Ayer Limau, petang tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri juga meluluskan RM2.64 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur lain di daerah itu yang terjejas akibat banjir.
“Pelaksanaan kerja-kerja pembaikan ini adalah melibatkan jabatan dan agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.