Sorting by

×

RM30 juta bina ‘breakwater’ Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac – Sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah hakisan yang membelenggu Pantai Puteri.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah berkata, peruntukan itu dijangka akan digunakan bagi membina struktur pemecah ombak (breakwater) selain tambakan pasir di kawasan tersebut.

Katanya, buat masa ini, pihaknya sedang dalam proses reka bentuk (design) yang dijangka mengambil masa setahun, sebelum projek itu dapat dimulakan dan mengambil masa anggaran dua ke tiga tahun untuk disiapkan.

“Sebelum ini kita pernah lakukan kaedah tambakan pasir sahaja bagi mengatasi hakisan Pantai Puteri, tetapi ia tidak berkesan dan akhirnya masalah sama masih berlaku.

“Sebenarnya memang kita sudah jangkakan perkara itu berlaku kerana perancangan kita lain, tetapi disebabkan mahu memberi laluan kepada nelayan udang geragau di pantai itu jadi perancangan asal tidak dapat direalisasikan.

“Jadi kali ini, kita masih terbuka untuk apa jua pilihan kaedah atasi hakisan tetapi kebiasaannya kita akan mencadangkan untuk membuat menggabungkan kaedah ‘breakwater’ dan tambakan pasir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, JPS dinobat pemenang utama selepas meraih Anugerah Pengurusan Projek Terbaik Tahun 2020 dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome (Infrastruktur) menerusi kerja-kerja membina Struktur Lapis Lindung Pantai (Rock Revetment) di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.

ABD Hakim

Abd Hakim berkata, kejayaan itu bertitik-tolak daripada usaha keras kakitangan dan semua pihak berkaitan yang membantu secara langsung atau tidak langsung.

“Kebanyakan projek dan kajian yang kita jalankan biasanya JPS Melaka memang amat mementingkan projek yang dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan, selain ada juga yang dapat disiapkan awal.

“Selain itu, untuk setiap projek juga kita amat mementingkan ‘outcome’ dan kesannya kepada stakeholder serta penduduk.

“Contohnya, projek yang kita menangi iaitu Rock Revetment di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara yang mana projek berkenaan telah berjaya menyelamatkan rumah penduduk daripada dihakis ke laut dan membantu penempatan nelayan di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1915
Kongsi :
Previous post UTeM sedia 2,000 kit ujian RTK pada konvokesyen ke-17
Next post Gigit isteri, ugut bunuh anak tiri pekerja kontrak dipenjara 7 bulan
Ubah saiz-+=