Sorting by

×

RM3 JUTA BINA, BAIK PULIH RUMAH PERCUMA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 31 Disember – Sejumlah RM3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina baharu dan baik pulih rumah secara percuma kepada rakyat Melaka yang memerlukan menerusi program Melaka Rumahku.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan menerusi Bajet 2025 Negeri Melaka itu menjadi antara bukti Kerajaan Negeri prihatin dan peduli kepada nasib rakyat terutama mereka yang ditimpa musibah.

Jelas beliau, daripada keseluruhan peruntukan tersebut, RM2 juta diperuntukkan bagi pembinaan rumah baharu bernilai RM70,000 dan RM1 juta lagi bagi baik pulih rumah dengan kos RM15,000 ke bawah, di mana ia akan diuruskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Projek bina baharu rumah secara percuma ini boleh dimohon melalui wakil rakyat atau Japerun masing-masing dan ia mestilah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan.

“Begitu juga rakyat yang mendiami rumah daif, bumbung bocor dan sebagainya di mana-mana kawasan, bawalah masalah yang dihadapi ke pemimpin kawasan supaya Kerajaan Negeri dapat membantu anda.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana meneruskan peruntukan ini dan membuktikan bahawa Kerajaan Negeri cakna terhadap Keprihatinan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rais berkata, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan pembiayaan bayaran pendahuluan 10 peratus pembelian rumah menerusi Dana Hartanah Bumiputera Negeri Melaka (DHB) melalui Melaka Finance House Berhad (MFH).

Jelas beliau, insentif itu perlu dipromosikan secara meluas memandangkan Kerajaan Negeri belum menerima sebarang permohonan sejak insentif itu diperkenalkan pada 2022.

“Saya merayu, mana-mana rakyat yang membeli rumah pada harga RM180,000 ke bawah, pergilah ke MFH untuk memohon pembiayaan deposit rumah 10 peratus.

“Syaratnya, pemohon mestilah telah lulus 90 peratus pinjaman dan Kerajaan Negeri akan membayar deposit itu untuk membantu mereka memiliki rumah sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

361
Kongsi :
Previous post BAJET 2025 MELAKA DIKAJI 3 BULAN, DAPATKAN PANDANGAN RAKYAT
Next post SEMUA WAKIL RAKYAT MELAKA PERLU RAJIN BUAT KAJIAN, SELIDIK
Ubah saiz-+=