Sorting by

×

RM26.6 bilion dibelanjakan untuk program jaringan keselamatan sosial tahun lepas

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kerajaan membelanjakan sejumlah RM26.6 bilion atau 1.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pelbagai program jaringan keselamatan sosial pada tahun lepas.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sebahagian besar bantuan iaitu RM14 bilion (52.6 peratus daripada keseluruhan bantuan) telah diperuntukkan untuk meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin dan mudah terjejas.

Antara bantuan itu merangkumi subsidi minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), diesel dan petroleum, elektrik serta tepung.

Bantuan lain termasuklah Bantuan Sara Hidup (BSH), selain elaun dan pemberian tunai kepada orang kurang upaya, warga emas dan miskin, kanak-kanak tanpa penjaga serta kumpulan Orang Asli.

Menurut laporan itu, pemberian bantuan tersebut penting memandangkan kenaikan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan rakyat terutamanya golongan miskin dan mudah terjejas.

“Memandangkan sektor pendidikan merupakan pemboleh daya penting bagi membolehkan mobiliti sosial dan pembangunan modal insan, sektor ini telah menerima peruntukan kedua terbesar iaitu RM6.7 bilion (25.3 peratus).

“Peruntukan ini disediakan bagi melaksanakan program seperti bantuan makanan dan buku teks serta bantuan lain merangkumi biasiswa dan pinjaman untuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya.

Laporan itu turut menyebut, sektor pertanian juga merupakan penerima utama bantuan sekitar RM1.9 bilion, memandangkan sektor itu bukan hanya ada hubung kait dengan sektor ekonomi lain tetapi juga disebabkan sebahagian besar isi rumah B40 terlibat dalam sektor itu.

Petani dan nelayan antaranya menerima bantuan melalui pelbagai program termasuk subsidi harga padi dan baja, insentif pengeluaran padi, bantuan musim tengkujuh, penanaman semula kelapa sawit, serta pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sementara nelayan mendapat insentif hasil tangkapan ikan.

Selain itu, kerajaan turut memperluaskan jaringan keselamatan untuk membantu rakyat yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, kerajaan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat.

‘’Pelbagai bantuan one off diberikan kepada isi rumah untuk meringankan beban kewangan mereka di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan yang diumumkan pada Mac dan April lepas.

“Bantuan tersebut termasuk pemberian tunai yang memanfaatkan sekitar lima juta isi rumah,’’ katanya.

Laporan itu turut menyebut di bawah pakej yang sama, program subsidi upah  juga dilaksanakan bagi membantu majikan mengekalkan pekerja khususnya pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Jan lepas.

“Program itu melibatkan peruntukan berjumlah RM13.8 bilion yang memanfaatkan kira-kira 4.8 juta pekerja selain menyumbang kepada pengurangan kadar penggangguran kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020,” katanya.

— BERNAMA

Views:

381
Kongsi :
Previous post Kemampuan pemilikan rumah bertambah baik – laporan
Next post Prestasi sektor perlombongan dijangka pulih
Ubah saiz-+=