Sorting by

×

RM25,000 rezeki ‘bidadari’ 14 hari

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KLEBANG 2 Oktober – “Alhamdulillah, hadiah kemenangan ini didedikasikan buat ‘bidadari’ saya yang baru berusia 14 hari”.

Itu kata seorang bapa yang membawa pulang hadiah kemenangan RM25,000 selepas dinobat johan pada Pertandingan Memancing Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting Challenge di Tambak Klebang, di sini, semalam.

Mohd Aizat Dolmi, 35, berkata, kelahiran cahaya mata ketiga yang diberi nama Dhiya Qadira itu bukan sahaja menambah seri hidupnya sekeluarga, malah turut memberi rezeki di luar jangka.

“Terima kasih Allah SWT maha pemberi rezeki. Selepas rezeki cahaya mata baharu, tak sangka ada lagi rezeki untuk kami sekeluarga awal Oktober ini.

“Terima kasih juga isteri yang sentiasa menyokong minat suami dalam arena memancing walaupun masih berpantang dan tidak dilupa juga untuk seluruh ahli keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada pertandingan yang berlangsung selama empat jam bermula jam 8.30 pagi itu, Mohd Aizat menewaskan lebih 1,300 kaki pancing lain selepas berjaya mendaratkan ikan pari seberat 3.8 kilogram (kg).

WhatsApp Image 2023-10-02 at 09.50.35
MOHD Aizat bersama ikan pari yang menobatkannya johan pertandingan memancing di Tambak Klebang.

Menceritakan detik pertarungan dengan ikan yang membantunya muncul juara, Mohd Aizat berkata, joran yang berumpankan udang hidup miliknya tiba-tiba menunduk tatkala masa pertandingan berbaki kurang dua jam lagi.

Dia bagaimanapun sempat menyambar joran sebelumnya bermulanya pertarungan sengit menundukkan spesies yang menjadi ‘trofi’ buat kaki pancing pantai itu.

“Dengan pengalaman yang ada, saya cuba untuk tenang mengawal permainan ikan pari yang sememangnya licik apabila melarikan umpan.

“Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan pemancing yang lain, ikan itu berjaya didaratkan selepas kira-kira lima minit bertarung dan saya sangat bersyukur ia menjadi tangkapan terberat pertandingan ini,” katanya.

Selain membawa pulang wang tunai RM25,000, pemancing berasal dari Paya Luboh itu turut menerima hadiah iringan berupa peralatan memancing.

Tempat kedua pula menjadi milik peserta dari Johor yang menaikkan ikan pari seberat 2.210kg, manakala pemancing dari Kuala Sungai Baru di tempat ketiga dengan tangkapan siakap seberat 2.195kg.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dan RM3,000 berserta peralatan memancing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1933
Kongsi :
Previous post Persembahan udara KUAM2023 pukau ribuan pengunjung
Next post Melaka dicadang jadi venue ‘Hari Pelancongan Sedunia’ 2025
Ubah saiz-+=