RM22.8 juta biayai 298 projek pembangunan di Melaka
BANDA HILIR 11 Feb – Kerajaan negeri menerima sejumlah RM22.8 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lalu bagi pembiayaan 298 projek di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan yang diberikan itu bagi melaksanakan pembangunan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Katanya, antara projek telah dilaksanakan adalah Projek PEMERKASA Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) di bawah peruntukan negeri, Projek kecil BP 1 di kawasan PBT, Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan Projek Landskap Persekitaran Kehidupan.
“Seiring dengan hasrat kerajaan negeri memacu pertumbuhan ekonomi negeri Melaka, saya harap Datuk Bandar, Yang Dipertua serta ahli-ahli majlis di semua PBT dapat menyokong agenda pembangunan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis PBT di Hotel Swiss Garden, hari ini.
Ujarnya tugas kerajaan mendapatkan kelulusan projek, manakala tanggungjawab ketua PBT serta Ahli Majlis memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan efektif.
“Ini termasuklah proses kelulusan pelan-pelan pembangunan yang dibuat dengan cepat dan tepat demi kepentingan masyarakat tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.