RM200,000 BANTU USAHAWAN MELAKA KEMBANGKAN PERNIAGAAN
SERI NEGERI 31 Disember – Sejumlah RM200,000 disalurkan menerusi Dana Pembangunan Usahawan Negeri Melaka yang merupakan insentif Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, inisiatif itu memberi manfaat kepada seramai 67 pemohon seluruh Melaka.
“Secara keseluruhan pemohonan yang diterima sebanyak 928 namun melalui Mesyuarat Kelulusan Bil. 2/2024 hanya 67 pemohon berjaya memperolehi dana itu.
“Bagi daerah Melaka Tengah seramai 37 pemohon berjaya membabitkan jumlah peruntukan RM110,370, diikuti Jasin seramai 11 orang dengan nilai RM32,630 dan Alor Gajah seramai 19 orang berjaya membabitkan nilai peruntukan RM57,000.
“Jumlah maksima dana yang diterima bagi setiap penerima sebanyak RM3,000 yang berbentuk barangan atau peralatan perniagaan yang dimohon,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata demikian ketika menjawab soalan Adly Zahari (PH- Bukit Katil)pada Persidangan Ketiga (Bajet) pada Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurutnya, beberapa kriteria dan syarat ditetapkan dalam memastikan penyaluran dana bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih telus serta menyeluruh.
“Selain terbuka kepada usahawan negeri Melaka yang berstatus mikro syarat lain ditetapkan adalah activiti perniagaan yang dijalankan mestilah sekurang-kurangnya enam bulan dan perniagaan hendaklah dilaksanakan sendiri oleh usahawan secara sepenuh masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.