RM2.8 juta laksana Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Jun – Sejumlah RM2.8 juta peruntukan diterima Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi melaksanakan kajian semula Rancangan Tempatan MPHTJ (Penggantian).

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, selain menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM800,000 pihaknya juga mendapat RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya ingin merakam setinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) kerana bersetuju meluluskan kajian semula Rancangan Tempatan MPHTJ dengan jumlah peruntukan RM2 juta.

“Malah bagi menjayakan kajian ini juga Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM800,000 bagi perbelanjaan mengurus untuk kajian ini agar ia berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Dengan peruntukan yang diperoleh ini kita akan guna pakai untuk melaksanakan perancangan yang sudah dirangka dan sekiranya ada penggantian atau perubahan kita akan lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kick-Off Bagi Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 (Penggantian) di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr. Md Nazri Abdullah dan Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan (PLANMalaysia) TPr. Dr. Dzul Khaimi Khailani.

Menurut Sapiah, menerusi peruntukan tersebut MPHTJ juga akan melihat dan melakukan penilaian kawasan atau lokasi yang sesuai bagi menjalankan pembangunan baharu.

“Meskipun kita melihat kawasan MPHTJ ini sedikit sebanyak akan berkembang sebagai kawasan perindustrian namun ia perlu selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Melaka 2035.

“Kita akan menumpu kepada rancangan pembangunan dan mengenal pasti kawasan sesuai bagi perindustrian dengan melaksanakan perancangan awal terlebih dahulu.

“Misalnya, apabila terdapat pemaju atau pelabur yang berminat kita boleh tunjuk lokasi yang kita ada bagi pembangunan yang selari dengan kehendak mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post Pakaian diperkenalkan tidak digunakan untuk perbarisan Olimpik – Hannah
Next post PLANMalaysia peruntuk RM16 juta kepada enam PBT
Ubah saiz-+=