RM195,000 purata harga seunit rumah di Melaka, kekal terendah dalam negara

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 12 April. – Harga rumah di Melaka kekal terendah dalam negara iaitu purata RM195,661 seunit mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kejayaan itu bertitik tolak daripada projek perumahan mampu milik yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha menggalakkan rakyat negeri ini memiliki rumah impian dengan harga berpatutan.

Katanya, sehingga kini nilai pembangunan kasar yang diluluskan Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka bagi projek perumahan mampu milik adalah RM1 bilion.

SULAIMAN (tengah) melancarkan visi Menuju Negeri Lestari iaitu buku “Melaka 2035 Satu Perjalanan” disaksikan Hasim (kiri) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh (kanan) pada Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021.

“Ia melibatkan 15 projek dengan keluasan 197.567 hektar dan satu jumlah yang cukup besar, dan saya percaya ia adalah hadiah cukup bermakna kepada rakyat,” katanya berucap dalam Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Sulaiman turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka yang meraih pelbagai pengiktirafan.

Sebagai contoh, katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mendapat pengiktirafan dunia sebagai bandar paling bahagia di Malaysia.

“Satu lagi kejayaan kita raih apabila Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) diberikan Anugerah Diamond Bandar Bebas Karbon oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menewaskan 154 majlis perbandaran di seluruh Malaysia.

“Ia satu pengiktirafan betapa Melaka memang mampu menarik perhatian orang luar untuk datang ke bumi bertuah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post Sulaiman mohon maaf sempena kehadiran Ramadan
Next post Pemandu, kelindan treler maut nahas di Lebuhraya KL-Karak
Ubah saiz-+=