RM150 juta percepatkan pemberian vaksin kepada pekerja industri
PUTRAJAYA 28 Jun – Kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi mempercepat pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi pemberian vaksin melibatkan pekerja industri dan kilang.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.
Beliau berkata, majikan akan diberikan potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.
“Kerjasama ini (awam dan swasta) sangat penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.
PIKAS diselaraskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.