Sorting by

×

RM134 JUTA BAYARAN ZAKAT DIAGIHKAN KEPADA ASNAF MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Kepedulian umat Islam melunaskan tanggungjawab membayar zakat memberi satu sinar baharu kepada golongan asnaf di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat 30 November, sejumlah RM134 juta bayaran zakat yang diterima Zakat Melaka telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf di negeri ini menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selaku pemegang amanah zakat.

Menurut beliau, agihan itu membabitkan pelbagai skim dan program bantuan, meliputi keperluan asas, pendidikan, kesihatan, modal perniagaan dan pembangunan sosioekonomi.

“Saya mahu komitmen ini terus diperkasa bagi memastikan setiap dana zakat yang dikumpul dan diurus dapat diagihkan secara optimum demi membantu golongan yang memerlukan.

“Langkah ini dilihat selari dengan aspirasi negeri Melaka ke arah mewujudkan masyarakat inklusif, makmur dan sejahtera.

“Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kerjasama dan sokongan daripada semua agensi dan syarikat di negeri Melaka untuk sama-sama membantu Zakat Melaka meningkatkan kutipan zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Majikan Zakat Melaka Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Undang-Undang Negeri Khairul Azreem Mamat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan setakat 23 Disember 2024, kutipan Zakat di Melaka telah mencapai RM125.5 juta dengan peningkatan RM5.62 juta atau bersamaan 4.68 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Saya percaya, momentum peningkatan jumlah kutipan zakat ini, pastinya diperkukuh dengan usaha Zakat Melaka menambah baik perkhidmatan melalui kempen dan promosi Zakat secara berterusan, dakwah melalui platform media massa, kunjung hormat, taklimat zakat dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

174
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS KEMPEN SKIM POTONGAN GAJI ZAKAT
Next post SAMBUTAN HARI LAHIR SERENTAK JADI KENANGAN TERAKHIR – WARIS MANGSA NAHAS KILOMETER 204
Ubah saiz-+=