Sorting by

×

RM12,000 SUMBANGAN RAMADAN UNTUK WARGA HANG TUAH JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER MOLEK 20 Mac – Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan berjumlah RM12,000 beserta kit Ramadan kepada 120 penerima dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan melibatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Bukit Katil, Pengkalan Batu dan Ayer Molek.

Menurut Ketua Menteri, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu meringankan beban perbelanjaan mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang memerlukan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Dalam tempoh hampir dua tahun saya diberi amanah menerajui Melaka, saya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan cakna tentang cabaran serta kesulitan rakyat dalam meniti kehidupan.

“Atas sebab itu, pelbagai bantuan dan sumbangan telah disalurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Safinah An-Najah, Tambak Paya di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Ab Rauf, turut menzahirkan rasa syukur dan kegembiraan kerana berpeluang menyantuni serta mengeratkan hubungan muhibah bersama warga Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan, tetapi juga satu tanggungjawab amanah bagi memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan sejahtera.

“Kerajaan Negeri optimis dalam memastikan setiap aspek kebajikan, pendidikan, peluang ekonomi dan kesejahteraan diutamakan agar setiap rakyat dapat menikmati manfaatnya tanpa ada yang tercicir atau terpinggir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI ANGKAT LEBIH 800 PRODUK PELANCONGAN
Next post MELAKA SAH DIPILIH LOKASI PELANCARAN VM 2026