Sorting by

×

RM10 juta senggara rumah tentera di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SUNGAI UDANG 18 Ogos – Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM10 juta bagi menyenggara 200 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Melaka.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, projek yang dijalankan menerusi empat fasa yang bermula Februari lalu dijangka siap selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Menurutnya, projek penyenggaraan itu melibatkan 105 unit RKAT Desa Tun Razak, 56 unit RKAT Taming Sari 1 dan 2 serta 27 unit RKAT Tangga Batu.

Jelasnya, projek penyenggaraan itu membabitkan kerja-kerja dalaman rumah seperti baik pulih lantai, pendawaian elektrik dan perpaipan.

“Usaha ini dilakukan selaras dengan dasar Kementerian Pertahanan, selain ia juga bertepatan dengan tema Hari Tentera Darat ke-89 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’.

“Ia bertujuan memastikan Kemudahan untuk anggota berada pada tahap kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan simbolik Penyerahan Kunci Rumah Senggaraan kepada 10 penghuni Blok 49, RKAT Desa Tun Razak, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2022-08-18 at 5.20.59 PM
ZAMROSE (tengah) bergambar bersama anggota selepas Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Rumah Senggaraan di RKAT Desa Tun Razak, Sungai Udang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di seluruh negara terdapat 7,000 unit RKAT yang masih belum disenggara yang mana ia akan disiapkan secara berfasa.

Selain senggara rumah, ujarnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) juga sedang merancang pembinaan RKAT baharu dan ubah suai rumah sedia ada supaya lebih selesa kepada keluarga tentera.

“Saya berharap agensi-agensi pelaksana (untuk projek yang dirancang) dapat melaksanakan tugas dengan baik memandangkan rata-rata keluarga anggota tentera bergantung harap kepada mereka.

“Dengan kadar sewa rumah di luar yang tinggi iaitu pada anggaran harga RM600 sebulan, ia pastinya membebankan anggota yang menerima elaun rumah pada kadar RM320.

“Jadi kita harap projek senggara dan bina baharu RKAT ini dapat membantu anggota berjimat yang mana kita akan cuba menyelesaikannya secara berfasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2348
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan menyamar Raja Muda Perak
Next post Nur Raidah, Sze Ling bangkit selepas ‘terduduk’
Ubah saiz-+=