RM10 dapat seekor ayam, ubi kentang dan telur

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 11 Sept. – Tidak perlu bayar ayam pada harga RM9 sekilogram, sebaliknya cuma perlu RM10 untuk dapatkan seekor ayam, sepapan telur dan dua kilogram (kg) ubi kentang.

Bantuan itu, jelas melegakan kira-kira 2,000 anggota komuniti di Parlimen Masjid Tanah di sini apatah lagi disebalik harga ayam yang sedang melambung tinggi ketika ini.

Ini menjadikan mereka hanya perlu membayar RM3.30 bagi seekor ayam selain masing-masing hanya RM3.30 dan RM3.40 untuk sepapan 30 biji telur dan dua kg ubi kentang pada program Gerai Prihatin Rakyat di Taman Sri Aman, di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 5,000 ekor ayam dan 5,000 papan telur serta 10,000 kg ubi kentang disediakan untuk orang ramai.

Penerima program, Norhidayah Mahmud, 40, berkata dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada PN kerana memberi peluang kepadanya menikmati ketiga-tiga bahan makanan itu pada harga hanya RM10.

NORHIDAYAH menerima telur daripada Mas Ermieyati (kanan) pada program Gerai Prihatin Rakyat di Taman Sri Aman, Masjid Tanah hari ini

“Alhamdulillah, harga ayam sekarang melambung hingga mencecah RM9.50 semalam dan hari ini turun kepada RM9 sekilogram tetapi dengan berbelanja RM10 di sini, saya mendapat ayam, telur dan ubi kentang.

“Program ini amat membantu meringankan kos sara hidup golongan B40 seperti saya dan saya harap ia dapat diadakan pada masa depan,” katanya.

Ismail Siron, 70, berkata kos sara hidup yang meningkat dari semasa ke semasa membebankan kehidupannya yang hanya bergantung kepada pencen bulanan tidak sampai RM1,000.

“Alhamdulillah, syukur kerana kalau tidak kos untuk beli tiga bahan makanan ini di pasar, harganya mungkin sekitar RM50,” katanya.

Bantuan program disampaikan yang Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen serta Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Datang ‘walk in’, tak sampai 10 minit dah divaksin
Next post Tak perlu layanan ‘kayangan’ di masjid – Ahmad Marzuk
Ubah saiz-+=