RM1.45 JUTA GANTI BUMBUNG MASJID AL JAWAHIR

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TANJUNG BIDARA 13 Oktober – Kerja menggantikan bumbung Masjid Al Jawahir, Pengkalan Balak, akan dilaksanakan segera selepas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meluluskan peruntukan berjumlah RM1,451,000 bagi tujuan itu.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata pihaknya turut mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan anggaran kos menggantikan bumbung masjid berkenaan yang dianggap serius dan menyebabkan bahagian dalam kerap dimasuki air setiap kali hujan.

Katanya, cadangan menggantikan bumbung masjid berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat MAIM sebelum peruntukan itu mendapatkan persetujuan untuk diluluskan.

“Peruntukan disalurkan kepada Kerajaan Negeri melalui Bendahara Negeri Melaka, sementara itu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai agensi pelaksanaan termasuk melantik kontraktor.

“Ini adalah sebahagian usaha berterusan MAIM dalam memartabatkan institusi masjid dan surau di Negeri Melaka, menjadi hasrat kami untuk melihat umat Islam melaksanakan ibadah, sebarang aktiviti atau majlis ilmu dalam suasana selesa,” katanya.

Terdahulu beliau mewakili MAIM menyerahkan replika cek bagi sumbangan pembaikan Masjid Al Jawahir, Pengkalan Balak, kepada Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Alor Gajah Tahun 2024 di Japerun Tanjung Bidara hari ini.

Simbolik penyerahan itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.

Hadir sama  pada sambutan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem bersama timbalan beliau Siti Faizah Abd Azis.

Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Shaifulfazlee  berkata, kerja-kerja menggantikan bumbung akan dilaksanakan segera namun perlu mengikuti prosedur ditetapkan termasuk mengiklankan tender sebelum lantikan kontraktor.

Selain itu katanya, MAIM sedia menerima mempertimbangkan permohonan bagi melakukan kerja-kerja pembaikan daripada mana-mana jawatankuasa masjid dan surau seluruh Negeri Melaka.

“Surau sekolah juga boleh memohon kerana setiap tahun kami menyediakan dana berjumlah RM3 juta bagi tujuan ini. Setiap permohonan akan dinilai jawatankuasa permbaikan Masjid bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post ‘AIR FORCE’ MASUK KAMPUNG
Next post PREMIS KOTOR, MBMB KELUAR TIGA NOTIS
Ubah saiz-+=