Sorting by

×

RM1.4 juta untuk Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KOTA LAKSAMANA 25 Ogos – Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.4 juta bagi menjayakan Program Insentif Care SPM dan Biasiswa Melaka 2022.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan, kemenjadian pelajar serta pemugaran sahsiah.

Beliau berkata, bagi Insentif Care SPM 2022, calon di seluruh Negeri Melaka mendapat peruntukan RM50 setiap seorang yang disalurkan terus kepada pihak sekolah.

“Jumlah keseluruhan sumbangan ini (Insentif Care SPM 2022) adalah RM621,650 yang membabitkan 12,433 calon SPM merangkumi 85 buah sekolah termasuk swasta dan dibawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Biasiswa Melaka pula membabitkan 1,341 pelajar yang akan menerima biasiswa sebanyak RM600 setahun dan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM804,600.

“Keseluruhan peruntukan disediakan kerajaan Negeri Melaka adalah RM1,426,250 yang memberi manfaat kepada 13,774 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada Majlis Penyampaian Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa Melaka Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka, di sini, petang ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim.

Rais berkata, insentif dilaksanakan adalah antara perkara yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada Pembentangan Bajet 2022.

“Malah pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang, baru-baru ini juga kerajaan negeri menambah peruntukan sebanyak RM300,000 bagi melengkapkan keseluruhan peruntukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada TAPEM, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan semua penyumbang serta semua rakan strategik yang terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2078
Kongsi :
Previous post Aksi gaduh tular hanya latihan simulasi kebakaran di Hospital Taiping
Next post Pesakit strok terima pencen ilat Perkeso
Ubah saiz-+=