
‘RIVER GUARDIAN BOAT’ JAGA KELESTARIAN SUNGAI MELAKA
PENGKALAN BATU 24 Februari – Kelestarian Sungai Melaka dapat terus dikekalkan kepada generusi akan datang apabila sebuah inovasi yang diberi nama ‘River Guardian Boat’ berjaya dicipta.
Berkonsepkan bot pembersihan sisa sampah, ia merupakan hasil inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di bawah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Simbolik penyerahan bot tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Pengkalan Batu, di Jeti PPSPM Melaka Sentral di sini, semalam.
Menurut Pengarah Program Ts. Mohd Idain Fahmy Rosley, River Guardian Boat merupakan antara sembilan projek inovasi dihasilkan 32 warga UTeM terdiri daripada warga kerja dan pelajarnya.
Jelas beliau, kesemua produk itu mempunyai pelbagai fungsi antaranya untuk mengutip sampah di sepanjang sungai dan pada masa sama ia juga dapat mengesan sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Melaka.

“Seperti River Guardian Boat, ia berfungsi sebagai bot mengutip sampah di Sungai Melaka meliputi kawasan dari Taman Rempah hingga ke muara dan kita juga ada Labah Air yang direka bagi mengawal sampah-sampah kecil di mana ia akan ditempatkan di tiga fasa yang terdapat di Sungai Melaka.
“Selain itu, di sebelah Labah Air, akan ditempatkan Hydrox yang berfungsi mengawal pencemaran menerusi tiga jenis alat yang juga ditempatkan di tiga fasa Sungai Melaka, di mana sekiranya berlaku pencemaran ia akan menghantar signal ke ‘control room’ dan seterusnya menghantar ‘drone surface’ untuk mengesan lokasi pencemaran, selain ‘drone air’ juga digerakkan untuk mengesan punca pencemaran.
“Pada masa sama, kita juga telah menghasilkan ‘trash boom’ mudah alih dengan harga lebih murah berbanding yang terdapat di pasaran, di mana alat ini berfungsi untuk membuat halangan di sungai dan sampah yang terkumpul akan disalurkan ke satu tempat untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ts. Mohd Idain Fahmy, kesemua produk itu dihasilkan dengan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT), sekali gus membuktikan bakat tempatan juga tidak kurang hebatnya.
Tambah beliau, menerusi produk inovasi seumpamanya, ia secara tidak langsung memberi impak kepada kesejahteraan komuniti, selain memastikan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan kekal terpelihara.
“Kami bersyukur kerana usaha bertahun-tahun kami mendapat perhatian bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bahkan komuniti setempat.
“Kami akan terus terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menghasilkan lebih banyak produk inovasi seperti ini, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Melaka, khususnya dan Malaysia, amnya,” ujarnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.