RIUH X Hari Belia Negara di Melaka angkat Penggiat seni dan kreatif muda
KUALA LUMPUR, 22 Mei – RIUH x Hari Belia Negara 2024 yang akan diadakan di Dataran Pahlawan, Melaka pada Sabtu dan Ahad ini menumpukan kepada penyertaan penggiat seni dan kreatif dalam kalangan anak muda.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata program di bawah Kembara RIUH anjuran MyCreative Ventures Sdn Bhd itu akan membawakan 12 vendor yang menawarkan pelbagai barangan seni dan kreatif serta makanan.
“Hasrat kita adalah untuk membantu penggiat seni dan kreatif supaya mereka ada satu platform untuk dikumpulkan produk dan hasil mereka untuk tunjuk dan bawa ke komuniti.
“Minggu ini kami bawa 12 vendor…mereka adalah golongan muda yang mempunyai hasil kreatif yang berkualiti dan boleh dibanggakan dan sebab itu kumpulan ini wajar dapat sokongan kita,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.
Selain itu katanya, pengunjung juga boleh menikmati konsert secara percuma pada malam Sabtu dan Ahad melibatkan penyertaan kumpulan popular seperti Hujan, Insomniacks, Dolla, Bunga, iamNEETA dan beberapa artis indie.
Teo berkata susulan sambutan memberangsangkan terutama daripada golongan belia, program Kembara RIUH mungkin diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara pada tahun depan.
“Tahun lepas kita buat di empat lokasi dan hasil jualan sekitar RM1.3 juta. Tahun ini kita tingkatkan kepada tujuh lokasi dengan Melaka merupakan lokasi kedua selepas Sentul Depot dan Johor Bahru, dengan kutipan di dua lokasi tersebut melebihi RM1.3 juta.
“Kami harap lokasi ketiga di Melaka hujung minggu ini akan membantu kita mencapai sasaran agar industri kreatif dapat menyumbang lima peratus kepada KDNK atau RM31.9 bilion kepada negara dan kita optimis untuk mencapai matlamat itu.
“Malah ramai yang mengadu kenapa tempat mereka tidak diadakan Kembara RIUH dan saya fikir mungkin tahun depan kita boleh tambah ke 10 lokasi pula,” katanya.
Penganjuran RIUH x Hari Belia Negara 2024 bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena penganjuran Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.