Risda, Felcra kolaborasi ternak ayam daging tampung bekalan makanan negara
KUALA LUMPUR, 30 Mei – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) meluaskan peranannya untuk terlibat dalam agromakanan negara dengan merancang menternak ayam daging bagi membantu menampung bekalan makanan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata selain lembu, ternakan ayam menjadi sasaran baharu agensi itu memandangkan terdapat isu kekurangan bekalan bagi keperluan tersebut, baru-baru ini.
“Selain lembu, Risda dan Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan) sedang berbincang berkolaborasi bagi terlibat dalam penternakan ayam. Ia akan melibatkan ladang-ladang dua agensi ini di seluruh negara, perkara ini sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di sini hari ini.
Sementara itu, Mahdzir berkata kira-kira 82,000 kilogram jagung bijian untuk dijadikan bahan makanan ternakan dijangka dituai Julai ini.
Beliau berkata ia merupakan sebahagian program tanaman jangka pendek melibatkan 750,000 pokok dalam kawasan seluas 15 hektar di Perlis secara ladang kontrak.
“Tanaman jagung bijian ini menjadi fokus Risda pada tahun ini dalam membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan,” katanya.
Mahdzir berkata program tanaman berkenaan termasuk dalam membantu sasaran kerajaan mengeluarkan 600,000 tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Risda Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata rancangan ternakan ayam menyasarkan 500,000 ekor ayam daging organik bagi sekali tuaian.
“Risda mampu membantu kerajaan mengatasi isu bekalan ayam, kita akan bekerjasama dengan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan).
“Kita akan menguruskan ladang ternakan ini dan kita merancang menghasilkan ayam yang lebih sihat, halal dan bersih untuk keperluan rakyat dengan harga berpatutan, ia juga akan melibatkan peladang dan pekebun di samping mereka menjalankan aktiviti penanaman mereka,” katanya sambil menambah projek tersebut akan dimulakan tahun ini.
Dalam pada itu, Mohd Salim berkata buat julung kali agensi itu akan membekalkan keperluan 1,000 ekor lembu untuk tujuan korban bagi Aidiladha tahun ini.
Ibadah korban akan diuruskan melalui agensi-agensi yang menguruskan ibadah korban termasuk secara dalam talian seperti EzyQurban.
Beliau berkata Risda juga menyediakan rumah penyembelihan di Semenyih, Selangor dan kemudahan untuk mengagihkan daging korban melalui syarikat kurier tempatan.
Risda setakat ini mempunyai 6,000 ekor lembu di ladang-ladang yang disediakan seluruh negara dan menyasarkan untuk menambah kepada 10,000 ekor lembu akhir tahun ini, katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.