Sorting by

×

‘Ringankan beban ibu’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TABOH NANING 22 Mac – “Alhamdulillah, dapatlah juga bantuan ini meringankan beban ibu yang bergantung rezeki mengambil upah menjahit,” kata Muhammad Basyar Husaimi, 23.

Penuntut Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa’abas, di sini itu berkata, sumbangan berkenaan meringankan beban ibunya, Khadijah Ahmad, 47, untuk membiayai pengajiannya.

Katanya, ibunya hanya bergantung rezeki mengambil upah menjahit di Kampung Padang Lalang Kati, Kuala Kangsar Perak sejak berpisah dengan bapanya beberapa tahun lalu.

“Sebagai anak sulung daripada empat beradik sumbangan ini bernilai RM450 ini amat besar nilainya dan terima kasih kepada RISDA kerana sudi membantu keluarga saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian zakat korporat RISDA oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif kepada 300 penuntut UCAM, hari ini.

MOHD Salim (dua dari kiri) dan pengurusan tertinggi RISDA pada majlis penyampaian zakat RISDA di UCAM, Ayer Pa’abas, Alor Gajah. Foto: DIN AHMAD

Muhammad Basyar dan dua penuntut lain, iaitu Muhammad Hanif Shahrin dan Ahmad Kazim Mohd, kedua-duanya berusia 23 tahun adalah penerima Skim Subsidi Makanan bernilai RM450 seorang.

Muhammad Hanif berkata, bapanya Shahrin Yaakob, 57, hanya menyara keluarga dengan mengambil upah menoreh kebun orang lain di Kampung Haji Safar Bukit Selambau, Sungai Petani Kedah.

“Alhamdulillah, saya akan gunakan wang ini untuk hal penting dan sama sekali tidak akan membazirkannya,” katanya.

Ahmad Kazim berkata, bapanya Mohd Alauddin Busu Hanifah, 65, sudah bersara sebagai juruteknik dan sudah uzur di Taman Seri Semantan, Temerloh Pahang.

Melalui sumbangan itu, Yayasan RISDA dan RISDA Ventures Sdn Bhd (RVSB) memperuntukkan RM100,000 bagi memberikan sumbangan itu kepada lebih 300 penuntut terbabit.

Selain ketiga-tiga penuntut terbabit, seramai 104 penuntut menerima sumbangan RM250 seorang daripada Yayasan RISDA.

RVSB menyampaikan sumbangan RM500 secara sekali terima kepada 45 penuntut fakir dan miskin, selain 175 penuntut kategori fisabilillah menikmati bantuan RM200.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post Lateks tingkat pendapatan penoreh dan pekebun kecil getah
Next post RM500,000 jika hilang upaya, mati akibat vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=