Sorting by

×

RINGAN, SELESA, BEBAS BERJALAN PAKAI ‘KAKI’ BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 28 Februari – “Jika dibandingkan memang tidak sama seperti kaki yang asal, tetapi menggunakan kaki palsu ini, alhamdulillah saya bebas untuk berjalan semula.

“Inovasi dan manfaat teknologi membantu saya meneruskan aktiviti harian termasuk mencari rezeki,” kata penerima sumbangan kaki palsu, Rozila Mohtar, 50.

Rozila antara tujuh individu mengalami kesukaran berjalan dipilih untuk menerima sumbangan kaki palsu menerusi Program Kaki Palsu Cetakan 3D daripda Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Pengusaha kantin di sebuah sekolah di Melaka ini berkata, dia kehilangan kaki kanan yang terpaksa dipotong selepas mengalami jangkitan kuman berikutan masalah diabetes.

“Pada peringkat awal hanya jari kaki sahaja dipotong, namun keadaan semakin serius kerana doktor mengesan ada luka dalaman sedang merebak hingga menyebabkan kaki kanan dari paras lutut kebawah pula terpaksa dipotong.

“Saya hanya tahu menghidap diabetes selepas pemeriksaan susulan berikutan luka pada jari kaki kanan. Memang terkejut apabila doktor memaklumkan perkara itu, namun saya kuatkan semangat dan berpegang kepada pesan arwah ayah agar menerima qada dan qadar dalam kehidupan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaki Palsu Cetakan 3D UTeM, di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTeM Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi Rice UTeM-Melaka, Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad.

Berkongsi kegembiraan Rozila berkata, kaki palsu sumbangan UTeM lebih selesa dan ringan berbanding alat bantuan berjalan jenis sama digunakan sebelum ini.

“Mengusahakan kantin memerlukan saya banyak bergerak, tetapi menggunakan kaki palsu yang lama meyebabkan saya berasa tidak selesa, pergerakan juga tidak lincah.

“Terima kasih kepada UTeM kerana memilih saya antara penerima kaki palsu yang diinovasikan oleh mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post ‘TIANG PINTAR’ MPAG CAKNA KESELAMATAN ORANG AWAM DI TAMAN REKREASI
Next post TAMAN TEKNOLOGI JERMAN DIBANGUNKAN DALAM DUA FASA