Rindu deruan motosikal trafik

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 15 Sept – “Paling saya rindukan kini ialah bunyi deruan motosikal trafik…itu adalah kerinduan yang tidak dapat saya gambarkan.”

Demikian luahan sebak anggota trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sarjan Sanip Tukiman, 55, ketika mengimbau insiden menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat kemalangan ketika bertugas pada 2015 dan kini hanya menjalankan tugas pejabat.

Anak jati Batu Pahat Johor itu berkata, kemalangan berkenaan dialaminya selepas penugasan pagi di sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 November 2015 ketika dalam perjalanan pulang ke pejabat di IPK.

SARJAN Sanip Tukiman mengimbau kemalangan dialami ketika bertugas pada 2015.

“Kejadian berlaku di hadapan Kompleks Mahkamah Syariah Ayer Keroh jam 8.20 pagi yang mana waktu itu saya sedang bekerja dan apabila melalui satu selekoh di Jalan MITC itu, saya terbabas merempuh tiang lampu jalan.

“Akibat kemalangan itu saya tidak sedarkan diri selama 16 hari dan pada hari ke-17 apabila sedar luluh hati ini bila melihat kaki kiri sudah tiada…doktor dan orang rumah (isteri) beritahu kaki saya sudah dipotong.

“Selain itu tulang kaki kanan patah empat selain saya juga mengalami pendarahan usus,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Sanip, pada mulanya beliau seakan tidak mampu menerima keadaan baharu apatah lagi sebelum ini beliau seorang yang aktif bekerja.

“Apa sahaja penugasan membabitkan anggota trafik, sama ada eskot mahupun mengawal lalu lintas dan keselamatan awam atau menyertai operasi menahan samseng jalanan saya sentiasa babitkan diri,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

ZARINA mengambil suaminya, Sanip di pejabat selepas habis waktu bekerja.

Menurut Sanip, sehingga kini dia tidak mampu melalui jalan tempat kejadian kerana pasti akan terkenang episod hitam itu.

“Saya tidak boleh duduk seorang diri dan tidak boleh lalu jalan itu lagi kerana memori itu membuatkan saya boleh menangis,” katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Meskipun tidak dapat bergiat aktif seperti dahulu, namun Sanip bersyukur kerana dikelilingi oleh ketua jabatan prihatin serta rakan setugas yang sentiasa memberi sokongan.

Katanya, isterinya, Zarina Maidin, 53, adalah penguat semangat untuk dia meneruskan kelangsungan hidup.

“Malah sejak bergelar orang kurang upaya (OKU), isterilah segala-galanya…pembantu peribadi, suri rumah, menteri kewangan, segala-galanya dia mengambil tugas.

“Lama-kelamaan saya boleh terima walaupun ia memakan masa hampir sebulan untuk menyesuaikan keadaan, namun saya amat bersyukur kerana Allah memanjangkan nyawa saya untuk kembali kepada keluarga dan berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Sanip berkata, selepas pulih dari rawatan selama sembilan bulan, beliau kembali bertugas sebagai anggota trafik dan ditempatkan di kaunter pembayaran saman IPK Melaka selain turut menyalurkan info trafik kepada Melaka FM setiap pagi.

“Saya amat berterima kasih terutama kepada ketua jabatan saya ketika itu kerana menempatkan saya di tempat yang sesuai dengan keadaan saya.

“Jika ditanya, mana mungkin saya tak mahu berjalan semula seperti orang lain tetapi saya harus terima dan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1083
Kongsi :
Previous post Skuad Sabil Tangga Batu bantu santasi sekolah
Next post Pekerja gas melecur disambar api
Ubah saiz-+=