Sorting by

×

Ribut salji landa bandar Pakistan, operasi menyelamat diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KARACHI (Pakistan), 9 Jan – Angka kematian akibat salji tebal di stesen bukit terkenal berhampiran ibu negara Pakistan, Islamabad meningkat kepada 23 orang, ketika pekerja penyelamat dan tentera bertungkus-lumus semalaman untuk membersihkan salji di jalan raya, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai pada Ahad.

Salji lebat sejak tiga hari lalu menimbus Murree, pekan tanah tinggi yang terletak kira-kira 65 kilometer (40 batu) dari Islamabad, dan kawasan lembahnya diliputi salji tebal, menyekat jalan, memutuskan bekalan elektrik, dan menimbulkan panik kepada pelancong yang bergegas mencari perlindungan.

Beribu-ribu kenderaan yang penuh dengan pelancong terperangkap dalam ribut salji di kawasan lembah dan kawasan berdekatan sejak tiga hari lalu.

Sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk lapan daripada sebuah keluarga, meninggal dunia akibat kesejukan dan kekurangan oksigen apabila beribu-ribu kenderaan terperangkap di laluan berbeza di sekitar Murree sejak dua hari lalu, memaksa kerajaan menggerakkan bantuan tentera.

Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Mejar Jeneral Akhtar Nawaz, berkata penyelamat masih berusaha untuk membersihkan jalan utama, lokasi kebanyakan kematian berlaku.

Menurutnya semua pelancong yang terkandas telah dipindahkan ke hotel dan kem tentera.

Bagaimanapun, tambahnya, “banyak” kenderaan terbiar masih terperangkap di bawah salji, menyukarkan pasukan penyelamat membersihkan jalan utama yang menghubungkan lembah itu dengan seluruh negara.

Menurut polis Murree, kira-kira 600 hingga 700 kenderaan diselamatkan semalaman. Rakaman yang disiarkan penyiar tempatan Geo News menunjukkan tentera menggunakan jentera berat membersihkan jalan raya, dan penyelamat menyiram garam di jalan raya sebagai usaha untuk mencairkan lapisan salji tebal.

Sementara itu, Perdana Menteri Imran Khan mengarahkan siasatan berhubung insiden itu, memfokuskan mengenai sebab pelancong tidak dihalang daripada melawat stesen bukit itu meskipun amaran jelas telah diberi oleh jabatan meteorologi mengenai salji lebat.

Lembah utara dan barat laut Pakistan mengalami salji lebat tahun ini, petunjuk jelas akibat perubahan iklim.

Pakistan adalah antara 10 negara, yang dijangka terjejas teruk akibat perubahan iklim.

Beratus-ratus ribu orang dari seluruh Pakistan mengunjungi Murree dan destinasi pelancongan yang berdekatan untuk menikmati salji pada musim sejuk.

Menurut polis, lebih 100,000 kenderaan memasuki Murree sejak seminggu lalu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2154
Kongsi :
Previous post Kastam gagalkan cubaan seludup rokok putih RM8.71 juta
Next post Polis siasat isu bantuan mangsa banjir di Segamat dibangkitkan ahli politik
Ubah saiz-+=