Ribut petir diramal landa pantai barat bermula 3 Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MELAKA 29 September – Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung berserta barat Sabah serta tengah Sarawak bermula 3 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata, ramalan itu berikutan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga November depan.

Menurutnya, ramalan cuaca buruk itu dijangka berlaku pada waktu petang dan awal malam.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2298
Kongsi :
Previous post Rezeki udang kara
Next post Dakwaan penculikan di sekolah: KPM teliti sesuatu kes sebelum ambil tindakan
Ubah saiz-+=