Rezeki udang kara
TABOH NANING 29 September – Bermula sebagai hobi bagi mengisi waktu lapang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, penternakan udang kara diusahakan secara kecil-kecilan kini menjana pendapatan sampingan bagi Abdul Rahim Mohd Said, 50.
Pemandu van sekolah sepenuh masa ini berkata, dia memulakan penternakan itu dengan membeli anak benih udang kara, daripada pembekal selepas tertarik dengan video mengenai hidupan akuatik itu yang ditonton menerusi YouTube.
Pada mulanya dia berdepan banyak kekangan terutama cara untuk menguruskan anak benih, penjagaan dan pemakanan kerana langsung tidak mempunyai ilmu mengenai penternakan udang kara.
“Pembekal cuma hantar anak udang, langsung tidak ajar mengenai cara penjagaan menyebabkan saya hampir berputus asa kerana banyak anak udang yang mati pada peringkat awal.
“Jadi saya membuat carian video di YouTube mengenai penjagaan udang kara, atas semangat dan kemahuan tinggi alhamdulillah selepas setahun kini saya semakin menguasai bidang ini. Sekarang ini sudah pulang modal selepas beberapa kali dijual,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Taboh Naning, di sini, hari ini.
Katanya, dia kini memiliki dua kolam yang dibina sendiri menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan kanvas dilengkapi pam untuk membekalkan oksigen serta membersihkan air.
Menurutnya, selepas empat bulan udang kara diternak sudah boleh dipasarkan, meskipun saiznya tidak besar namun ramai yang membelinya untuk dijadikan sebagai anak benih.
“Bila sudah faham, penjagaan udang kara sebenarnya tidak sukar, cuma kena pastikan air bersih. Pemakanan juga mudah dan jimat kerana udang kara ini cuma makan kacang hijau.
“Jika sudah bosan jadi pemandu van sekolah saya bercadang untuk menumpukan perhatian kepada bidang ini dan menjadikannya sebagai pendapatan utama selepas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.