Rezeki tak salah alamat, pekerja pembersihan hotel menang X70
BANDARAYA MELAKA 2 Januari – Seorang pekerja pembersihan sebuah hotel di Banda Hilir tidak menyangka membawa pulang Proton X70 selepas diumumkan pemenang utama cabutan bertuah pada Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024 yang diadakan di Dataran Pengkalan Rama pada 31 Disember lepas.
Mohd Shahizad Idris, 37, yang tinggal di Rumah Awam Bukit Rambai berkata dia dihubungi penganjur yang memaklumkan kememenangan X70 pada jam 1.07 pagi pada 1 Januari lepas.
Berkongsi cerita, Mohd Shahizad berkata dia pada awalnya bagaikan bermimpi memenangi sebuah kereta namun bersyukur  kerana hadiah itu boleh digunakan untuk membawa keluarganya bercuti ke Terengganu menaiki kereta tersebut pada bulan Februari nanti.
“Saya memang teruja untuk pergi ke mana-mana program anjuran Kerajaan Negeri, sebabnya Melaka dah lama tidak membuat program yang mega dan apabila iklan ada sambutan untuk Tahun Baharu 2024 di laman sosial Melaka Hari Ini, saya kongsi kepada semua ‘group whatsapp’ termasuk keluarga, rakan-rakan.
“Saya imbas kod qr selepas enam kali mencuba, itu pun dengan bantuan Sukarelawan TMM2024 yang membantu.
“Masa saya dimaklumkan penganjur, mereka minta untuk ‘video call’ dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri yang bercakap memaklumkan saya menang X70, memang teruja. Sempat saya menjerit, Saya menang kereta!,” ujarnya dengan nada gembira.
Tambahnya, Mohd Shahizad berkata dia memang berniat untuk membeli kereta baharu pada tahun ini namun hanya mahu membeli kereta terpakai sahaja.
“Alhamdulillah, bila diberi rezeki begini saya seronok, Allah permudahkan urusan, berbaloi saya meredah kesesakan lalu lintas pada malam sambutan itu.
“Pada saya inisiatif Kerajaan Negeri bersempena TMM2024 ini sememangnya wajar diberi pujian,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.