Rezeki saudagar puyuh
JASIN 25 November – Kata-kata ‘jangan takut mencuba’ selain kemahuan untuk belajar menjadi motivasi paling besar buat bekas kontraktor sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka ini ‘terjun’ ke bidang penternakan puyuh sejak 2021.
Mohd Hazri Khairan, 34, berkata, terkesan akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan harga minyak dunia tidak menentu dia cuba mencari haluan baharu dalam mencari rezeki sebelum terfikir untuk menternak unggas itu.
Katanya, idea untuk menternak puyuh datang secara spontan iaitu ketika dia diminta oleh mentuanya membeli unggas berkenaan.
“Ketika itu saya nampak peluang menjana pendapatan, jadi saya banyakkan membaca artikel selain membuat carian di internet sebagai rujukan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sifat, cara penjagaan, bagaimana kaedah pembiakan, risiko seperti penyakit dan pasaran puyuh di negara ini.
“Meskipun bersemangat, ketika itu saya memang langsung tidak ada pengetahuan mengenai cara menternak puyuh, mahu atau tidak perlu banyak belajar.
“Berbekalkan modal permulaan RM10,000 saya bina reban di belakang rumah mentua dan beli 1,000 ekor anak puyuh. Dugaan musim pertama agak memeritkan kerana daripada jumlah itu cuma 600 sahaja yang hidup,” katanya ketika ditemui di ladang puyuh diusahakan di Kesang Tua.
Namun dia tidak cepat ‘melatah’ ketika berdepan ujian sebaliknya terus membulatkan tekad untuk mengembangkan lagi perusahaan itu.
Hasil kesabaran dan kesungguhan, Mohd Hazri kini mampu menternak sehingga 6,000 ekor puyuh dalam satu-satu masa.
“Kebiasaannya setiap dua minggu saya akan keluarkan kira-kira 2,500 ekor untuk diproses dan dihantar kepada pelanggan. Ketika ini jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan dan ada waktunya saya akan mengambil bekalan daripada rakan penternak yang lain.
“Bagi menggantikan puyuh yang dituai, setiap dua minggu juga saya akan masukkan benih baharu atau anak puyuh sebanyak 3,000 ekor. Bagi memastikan keuntungan tidak merosot kami perlu kurangkan kematian anak puyuh bawah 10 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Produk Cahaya Puyuh Agro sekarang dipasarkan sekitar Melaka dan Johor, selain restoran ada juga individu datang beli puyuh termasuk penduduk berhampiran. Boleh katakan permintaan untuk puyuh sebenarnya tinggi kerana ramai peminatnya,” katanya.
Mengakui hasil jualan puyuh berbaloi dengan usahanya, dia tetap beringat kerana jatuh bangun sudah menjadi adat dalam apa juga jenis perniagaan.
Bercerita mengenai perusahaannya Mohd Hazri berkata, dia kini menternak puyuh atau kumpulan burung daripada keluarga ‘Phasianidae’ atau ‘Odontophoridae’.
“Puyuh ini tempoh risikonya adalah hari pertama selepas menetas hingga hari ketujuh, sepanjang waktu ini kita perlu pastikan persekitaran tidak terlalu sejuk juga tidak terlalu panas. Namun begitu berbanding ayam kampung, puyuh ini lebih lasak dan tidak mudah diserang penyakit.
“Setiap hari purata telur yang dipungut daripada puyuh induk sekitar 150 biji dan ia akan mengambil masa selama 17 hari untuk menetas selepas dimasukkan ke dalam mesin penetas telur,” katanya.
Bapa kepada dua anak ini mempelawa anak muda untuk aktif dalam bidang penternakan yang sebenarnya mampu membawa pulangan yang lumayan kepada pengusahanya.
“Bidang ternakan ini boleh pergi jauh, anak muda khususnya patut mengambil peluang menceburkan diri, boleh belajar dan cari ilmu tetapi paling penting kena bersemangat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.