Sorting by

×

Rezeki Ramadan ‘orang laut’

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 15 April – Belum sempat bot nelayan naik ke darat, terlihat kelibat ramai pelanggan sudah mula menunggu di pesisir pantai untuk membeli ikan segar.

Itu situasi yang dapat dilihat di pangkin nelayan sekitar Pengkalan Balak, di sini, setiap kali lewat pagi menghampiri tengah hari.

Menurut Muhamad Zaidi Baharuddin, 31, nelayan yang berpangkalan di Kampung Padang Kemunting, di sini, itu merupakan rutin biasa setiap kali Ramadan yang mana orang ramai berebut-berebut mahu mendapatkan bekalan hasil laut segar sebagai juadah berbuka puasa.

Katanya, setiap kali Ramadan atau tibanya musim perayaan, ‘orang laut’ sepertinya akan mendapat tempias rezeki tambahan memandangkan bekalan ikan dan udang sentiasa mendapat permintaan.

Berpengalaman 16 tahun sebagai nelayan hasil didikan bapanya, dia akan turun ke laut seawal fajar menyinsing untuk memenuhi permintaan pelanggan setianya.

“Kebiasaannya Ramadan merupakan antara bulan yang paling ramai pelanggan, mereka sanggup menunggu sejurus selepas sahur untuk mendapatkan bekalan hasil laut bagi persiapan berbuka.

“Malah setiap kali Ramadan musim udang pula akan menjelma.

“Tak dinafikan memang letih untuk ke laut ketika berpuasa, tetapi keletihan itu hilang bila melihat pelanggan sudah menunggu di gigi air,” katanya nelayan muda itu.

Anak jati Tanjung Bidara itu mengakui hasil laut di perairan itu saban tahun semakin berkurangan dek kerana pelbagai faktor.

Namun itu bukan pematah semangat untuknya dan rakan-rakan berusaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga.

“Kalau tahun-tahun sebelum ini hasil memang banyak, contoh ikan bawal selalu dapat dalam skala yang banyak tapi kali ini kalau memukat dan peroleh seekor ikan bawal itu besar maknanya bagi kami.

“Kalau ada nelayan yang merawai pun susah nak dapat ikan besar tapi apapun kita tetap bersyukur biarpun tak banyak namun ia cukup buat menyara keluarga,” katanya.

IMG-20230415-WA0007
MENOLAK bot dan enjin yang berat menjadi antara cabaran ‘orang laut’ seperti Muhamad Zaidi.

Menurutnya Muhamad Zaidi, seiring dengan perkembangan dunia teknologi maklumat, ia turut mempengaruhinya untuk mengubah cara pemasaran hasil laut menggunakan kaedah jualan secara dalam talian.

Katanya, walaupun baru berjinak dengan kaedah itu, namun ia ternyata lebih memudahkan dan banyak membantu nelayan menjual hasil mereka secara terus kepada pelanggan.

“Selalunya, kalau hasil banyak saya akan mempromosikan di kumpulan-kumpulan yang ada di Facebook dan Whatsapp, selain mengambil upah caj penghantaran dari rumah ke rumah setiap kali menerima pesanan.

“Alhamdulillah cara ini benar-benar membantu saya jika hasil terlalu banyak dan ia juga mengurangkan beban untuk membawa pulang hasil tangkapan ke rumah jika tidak terjual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2012
Kongsi :
Previous post ‘Kambing saiz kucing’ bakal jadi tarikan Zoo Melaka
Next post 530 wanita khatam al-Quran di Masjid Selat
Ubah saiz-+=