Rezeki pekerja kilang bawa pulang BMW218i
TABOH NANING 6 Februari – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itu pepatah tepat menggambarkan rezeki seorang pekerja kilang, Mohamad Amirul Izad Ishak, 29 yang membawa pulang sebuah kereta mewah BMW218i M Sport bernilai lebih RM220,000.
Mohamad Amirul Izad muncul pemenang cabutan bertuah sempena Ulang Tahun Ketujuh Shop&Win anjuran Freeport A’Famosa Outlet yang diumumkan malam tadi.
Mohamad Amirul Izad yang berasal dari Simpang Ampat, Alor Gajah berkata, rezeki itu datang tepat pada masanya memandangkan tiga hari lalu, keretanya terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang hingga terpaksa meminjam kereta bapa mentuanya untuk pergi kerja.
“Ini satu kejutan paling besar dalam hidup saya. Sudahlah tiga hari lalu kereta saya berada di bengkel selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Udang.
“Tiba-tiba malam tadi, nama saya diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus memenangi kereta BMW 218i M Sport, memang tak dijangka.
“Mungkin sudah tertulis rezeki saya dan tidak menyangka sama sekali hanya dengan satu resit pembelian saya berbelanja di Freeport A’Famosa Outlet bernilai RM600 saya terima kereta mewah bernilai RM220,000,” katanya ditemui selepas majlis cabutan dan penyampaian hadiah di Freeport A’Famosa Outlet, malam tadi.
Majlis penyampaian kereta tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau dan turut dihadiri Pengurus Besar Freeport A’Famosa Outlet, R.Theethar dan Pengurus Operasi Freeport A’Famosa Outlet, Jimmy Ho.
Mohamad Amirul Izad merupakan salah seorang daripada 9,100 penyertaan yang layak menyertai cabutan bertuah di mana hadiah keseluruhan bernilai RM350,000 dengan tawaran hadiah utama berupa sebuah kereta BMW 218i M Sport.
Cabutan bertuah terbabit telah dibuka kepada pengunjung sejak November tahun lalu buat mereka yang berbelanja lebih RM300.
Mengulas lanjut, Mohamad Amirul Izad berkata, dia dan isteri, Nor Amirah Noor Sham, 27 berada di pusat belah itu secara kebetulan untuk membeli barangan selepas menerima bonus daripada tempat kerjanya.
“Bila dengar ada cabutan itu, saya dengan isteri pun pergi dan duduk tidak jauh daripada tempat cabutan diadakan.
“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang saya terus mengangkat tangan meskipun terkejut,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Jimmy Ho berkata, cabutan bertuah yang dianjurkan menawarkan hadiah sebuah kereta adalah kali kedua diadakan.
“Memandangkan sambutan yang amat mengalakkan kami akan teruskan untuk tahun ketiga dan menawarkan hadiah kereta mewah setanding dengan BMW 218i M Sport pada edisi akan datang,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.