Sorting by

×

Rezeki orang Terengganu menang RM10,000 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PANTAI KUNDOR 11 Ogos – Menempuh perjalanan beratus kilometer demi menyertai pertandingan memancing mungkin dianggap satu kerja ‘gila’ oleh sesetengah orang.

Namun siapa sangka, bermula daripada sekadar hobi ia berubah menjadi lubuk rezeki buat Wan Mohd Firdaus Wan Azeland, 40.

Ia selepas pemancing dari Terengganu itu muncul juara Kembara Pancing Melaka, di Pantai Puteri, di sini, Jumaat lalu, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM10,000.

Menurut Wan Mohd Firdaus, dia sama sekali tidak menyangka perjalanan lebih enam jam ke negeri bersejarah berbaloi apabila umpan udang hidup yang dilabuhkannya disambar ikan pari seberat 4.480 kilogram (kg), sekali gus menjadi tangkapan terberat dalam pertandingan memancing itu.

“Saya bersama dua anak mahu menghadiri kenduri di Negeri Sembilan dan kebetulan ada pertandingan memancing di sini, jadi saya tak mahu melepaskan peluang untuk turut serta sambil makan angin di Melaka.

“Sejak menceburi arena sukan memancing, memang saya banyak mengembara ke serata negeri untuk menyertainya, alhamdulillah di sini tertulis rezeki untuk saya jadi juara,” katanya yang mengambil masa hampir 10 minit untuk mendaratkan ikan berkenaan.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik pemancing dari Muar, Johor, Muhammad Al Muhaimin Mustafar yang berjaya mendaratkan ikan tebal pipi seberat 2.875kg, manakala tempat ketiga milik peserta Melaka, Ahmad Fuad Hassan dengan tangkapan kurau seberat 1.760kg.

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Img 20240811 000705
SUASANA Kembara Pancing Melaka di Pantai Puteri, Jumaat lalu.

Kembara Pancing Melaka anjuran Joran Unggul Event Management menawarkan hadiah wang tunai lebih RM26,100 kepada pemenang.

Pertandingan memancing itu merupakan sebahagian inisiatif menyokong usaha Tourism Malaysia menggalakkan sektor pelancongan dalam negeri menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia – melanconglah dalam negara.

Sepanjang empat jam pertandingan itu berlangsung, iaitu bermula jam 9.30 malam, hampir 300 ekor ikan berjaya didaratkan oleh peserta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3712
Kongsi :
Previous post Melaka ‘duta’ promosi nanas
Next post Hujan tak bantutkan kemeriahan Festival D’Bendang
Ubah saiz-+=