
REZEKI ORANG DUYONG KIAN MELIMPAH
BANDARAYA MELAKA 11 Mac – Pelbagai program berbentuk keagamaan dan kerohanian yang memberikan manfaat kepada penduduk, khusus golongan kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong disusun untuk menghidupkan lagi Ramadan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turut meluahkan rasa syukur apabila golongan kurang berkemampuan seperti kanak-kanak daripada keluarga B40 dan anak yatim di DUN berkenaan sentiasa mendapat perhatian para dermawan.
Katanya, sejak awal Ramadan hampir setiap hari pihaknya menerima pelbagai tajaan berbuka puasa di restoran atau hotel bertujuan untuk meraikan golongan B40 dan anak-anak yatim.
“Selain tajaan berbuka puasa pada 19 Mac ini dijadualkan seramai 100 anak-anak dalam kelompok B40 akan dibawa membeli pakaian raya tajaan Ban Lee Hin Honda. Manakala pada 21 Mac pula, anak-anak yatim dan asnaf dalam DUN Duyong akan dibawa berbuka puasa di Wonderpack, The Shore.
“Tidak ketinggalan kami juga sedang meneliti program yang sesuai untuk dilaksanakan bagi memeriahkan suasana sekitar DUN Duyong menjelang Syawal nanti,” katanya ketika ditemui di Japerun Duyong, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, juga akan dianjurkan adalah edaran 15 periuk bubur lambuk kepada penduduk sekitar DUN Duyong, hasil daripada sumbangan beberapa syarikat swasta.
“Agihan bubur lambuk ini akan diadakan pada 16 Mac, Japerun Duyong bersama-sama agensi terlibat turut menjalankan Program Derma Darah membabitkan dua masjid iaitu Masjid Al Abrar dan Masjid Al Wahab,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.