Rezeki ketam renjong bertambah musim air pasang besar

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LINGGI 18 Nov. – Hasil tangkapan ketam renjong yang menjadi punca rezeki utama nelayan pinggir pantai dikesan meningkat semasa musim air pasang besar.

Sejak tiga hari lalu hingga hari ini, air pasang besar membawa rahmat kepada nelayan berkenaan berikutan peningkatan jumlah haiwan marin itu berbanding sebelum ini.

Bagi Mohd Affendi Shahat, 48, ketam renjong yang memenuhi pukat yang dipasang di perairan berhampiran pantai Telok Gong, di sini, membolehkannya tersenyum lebar.

Ketika menarik pukat jam 8 pagi tadi, dia tersenyum lebar apabila mendapati pukat berkenaan dipenuhi ketam bersaiz sederhana.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat lima kilogram ketam hasil daripada pukat yang saya pasang sejak pagi kelmarin dan dibiarkan selama dua malam sebelum ditarik pagi ini.

“Jumlah itu agak tinggi berbanding hanya antara satu hingga dua kilogram ketika tiada air pasang besar sebelum ini dan saya amat bersyukur dengan pemberiannya,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Telok Gong hari ini.

Beliau berkata, air pasang besar menyebabkan lebih banyak ketam renjong menghampiri pinggir pantai kerana paras air yang tinggi hingga gigi pantai membolehkan haiwan marin itu berenang dan bermain di pasir pantai yang lebih jauh ke arah daratan.

Mohd Affendi berkata, jumlah tangkapan hari ini agak jarang diperoleh berbanding ketika air pasang biasa sebelum ini.

“Saya jual ketam renjong antara RM15 hingga RM18 sekilogram bergantung pada saiznya kepada pelanggan yang hadir di pangkalan nelayan ini.

“Alhamdulillah, rezeki saya bertambah hari ini dan saya berdoa agar jumlah tangkapan lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, haiwan marin itu gemar berenang dan bermain di gigi pantai kerana dipercayai kawasan itu menyediakan bahan makanan yang lebih banyak berbanding di tengah laut.

Katanya, sebelum musim air pasang penuh, hasil tangkapan kadang kala tidak sampai 500 gram dan ia menyebabkan kebanyakan pelanggan yang menunggu beliau naik ke darat terpaksa pulang dengan kehampaan.

Bagaimanapun, hari ini pelanggan tetapnya tersenyum puas kerana menikmati ketam renjong bersaiz sederhana yang enak dimasak lemak dengan nanas, katanya.

Views:

1219
Kongsi :
Previous post Penipuan SMS: Bekas ketua perkhidmatan pelanggan Telco direman lima hari
Next post Pelancong maya ke Melaka
Ubah saiz-+=