Resah hadapi banjir empat kali setahun

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Okt. – Tindakan segera daripada pihak berkaitan dalam menangani banjir kilat di Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau dijangka dapat mengakhiri derita penduduk setempat yang berlarutan sejak lima tahun lalu.

Penyelaras Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal Senator Datuk Ismail Ibrahim berkata, beberapa faktor dikenal pasti pihaknya yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di dua kampung berkenaan antara pembangunan.

Beliau berkata, setiap tahun penduduk terpaksa berdepan dengan keadaan banjir kilat yang berlaku sehingga empat kali setahun.

“Antara penyumbang kepada keadaan ini berlaku apabila air-air dikawasan perumahan mengalir ke kawasan kampung dan bukannya ke kolam takungan banjir.

“Walaupun ada dibina kolam takungan dan tadahan banjir namun ianya dipercayai seakan tidak berfungsi apabila ianya tiada air dan tidak diselenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak bagi mengenal pasti punca banjir kilat dan hadir sama Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Alor Gajah Adnan Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara ini sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu namun ianya semakin teruk kira-kira lima tahun kebelakangan ini.

“Hasil daripada lawatan hari ini kami berharap agar kolam takungan dan parit di kawasan ini dapat diselenggara secepat yang mungkin.

“Selain berharap agar JPS dapat cuba membuat empangan dikawasan itu supaya air tidak terus ke kampung sebaliknya ke empangan dan ke sungai,” katanya.

Menurutnya, sekiranya perkara itu dapat dilakukan segera masalah penduduk dapat diselesaikan selain Kampung Belimbing Dalam sekali lagi boleh dinobatkan sebagai Desa Cemerlang di peringkat kebangsaan.

“Mungkin kalau perkara ini dapat diambil tindakan segera sebelum musim tengkujuh, penduduk mungkin tidak perlu lagi melalui banjir kali keempat untuk tahun ini,” katanya.

Ujar Ismail, susulan daripada keadaan banjir kilat itu juga, kebanyakan tuan tanah kini tidak dapat mengusahakan tanah mereka seperti sebelum ini dengan menanam mangga Melaka Delite.

“Jika dulu Kampung Belimbing Dalam terkenal dengan ‘Melaka Delite’ mampu ditanam lebih 40 hektar, namun kini mereka hanya membayar cukai tanpa mendapat hasil,” katanya.

Views:

349
Kongsi :
Previous post COVID-19: Perancis rekodkan lebih 50,000 kes dalam 24 jam
Next post Sektor penjagaan kesihatan dijangka terima peruntukan lebih besar
Ubah saiz-+=