Resah diganggu babi hutan
TABOH NANING 19 Jun – Pengusaha ladang pokok kelapa kerugian RM10,000 selepas tanaman yang diusahakan di Kampung Padang Kambing diganggu babi hutan sejak dua tahun lalu.
Nordin Zainal,68 berkata, dia yang mengusahakan tanaman pokok kelapa di tanah seluas lima ekar sejak dua tahun lalu buntu untuk menghalau musuh tanaman itu.
Katanya, meskipun kebun yang mempunyai tanaman kelapa dan ubi itu dikelilingi beberapa lapisan pagar berduri, namun babi hutan itu sering berkeliaran di kawasan kebunnya untuk merosakkan tanaman.
“Mula-mula saya pasang pagar, kemudian jaring hitam tetapi musuh tanaman itu tetap mengganggu tanaman saya.
“Kemudian saya pasang pula pagar duri sehinggalah keliling kebun saya dikelilingi tiga lapis pagar,” katanya ketika ditemui pada Program Bicara Santai ‘Membasmi Musuh Tanaman’ bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee di Dewan Japerun Taboh Naning.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latifah Omar.
Nordin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Kambing berkata, susulan itu dia meminta Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka menjalankan operasi secara besar-besaran di kawasan kampungnya bagi memburu musuh tanaman itu.
Sementara itu, Norhizam pada program berkenaan berkata, beliau meminta Jabatan Perhilitan Melaka menggerakkan operasi memburu haiwan berkenaan di kawasan kampung itu.
“Kita minta kerjasama penduduk kampung juga untuk maklumkan waktu yang sering dikesan kehadiran babi hutan itu,” katanya.