Resah bayi tiada deria rasa
PAYA RUMPUT – Belum lagi melangkah ke alam kanak-kanak, Muhammad Amir Rizqi Noor Shazmer baru berusia 12 bulan sudah disahkan menghidap lima jenis masalah kesihatan antaranya, kencing kotor dan epilepsi (sawan).
Lebih malang apabila bayi ini dikhuatiri tidak memiliki deria rasa hasil pemeriksaan kesihatan awal dijalankan doktor.
Ibu bayi itu, Amira Sariati Aziz, 30, berkata ketika dilahirkan anak bongsu dari lima beradik itu disahkan sihat dan perkembangannya sama seperti bayi lain.
Namun dia dan suami Noor Shazmer Noor Shahrin, 30, mula diduga selepas Muhammad Amir Rizqi Noor Shazmer berusia sebulan menyebabkan mereka terpaksa berulang-alik ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan bayi malang berkenaan.
“Semasa umur 28 hari saya perasan kencingnya berbau, tetapi dia tetap aktif. Kerana risau saya dan suami memantau keadaan anak.
“Namun dia tiba-tiba sahaja diserang demam panas dan dibawa ke hospital. Hasil pemeriksaan doktor mendapati sampel air kencing anak mengandungi kuman dan diberikan antibiotik sebagai rawatan awal.
“Ketika di wad, anak tiba-tiba diserang sawan sebelah badan yang berlarutan sebelum beberapa prosedur lain dilakukan termasuk mengambil air tulang belakang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Menurutnya hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pula doktor dapati berlaku jangkitan kuman pada otak kanak Muhammad Amir Rizqi menjadi punca bayi malang ini kerap diserang sawan.
Sementara itu katanya, hasil ujian gelombang otak (EEG) yang dijalankan pula mendapati gelombang otak Muhammad Amir Rizqi tidak normal.
“Kami bingung, apa punca menyebabkan anak mengalami masalah kencing kotor. Meskipun sudah disunatkan namun masalah itu masih berterusan,” katanya.
Paling merisaukan Amira dan suami adalah kemungkinan bayi mereka mempunyai masalah deria rasa berikutan makan dan minum dalam kuantiti yang amat sedikit.
Jelasnya tumbesaran Muhammad Amir Rizqi juga terbantut, sementara itu berat badannya tidak ideal jika dibandingkan dengan usianya.
“Walaupun sudah berusia 12 bulan dia hanya minum susu amat sedikit malah makan pun sekadar satu atau dua suap sahaja. Dia seolah-olah minum dan makan untuk alas perut sahaja.
“Malah kami pernah memberinya makan lemon tetapi reaksinya begitu lambat, saya yang makan terus memberi reaksi masam, namun dia sebaliknya,” katanya.
Berkongsi perkembangan kesihatan bayinya, Amira Sariati berkata, pada Februari nanti Muhammad Amir Rizqi akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani ‘details scan’ bagi melihat keadaan buah pinggang.
“Selain rungsing keadaan kesihatan anak, saya dan suami juga pening memikirkan kewangan kami sehinggakan pernah terputus makanan,” katanya.
Dugaan pasangan berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang menziarahi mereka pada 27 Disember lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.