Sorting by

×

REPLIKA ULAR TARIK PENGUNJUNG KE KAMPUNG PERMAI

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MACHAP JAYA 27 Januari – Kreativiti penduduk menggubah barangan kitar semula sebagai perhiasan bersempena sambutan Tahun Baru Cina menjadikan suasana di Kampung Permai, Machap Umboo, tetap meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Selain itu susun atur perhiasan pelbagai bentuk pada sudut tertentu bersama teknik pencahayaan yang menarik menaikkan lagi aura Tahun Baru Cina dan menimbulkan ‘mood’ ceria dalam kalangan pengunjung datang untuk bergambar.

Antara yang menarik perhatian adalah replika ular sepanjang 2.5 meter diperbuat daripada botol minyak masak dipamerkan bersebelahan laluan pejalan kaki.

Penasihat Projek Hiasan Kampung Permai Machap Umboo, Datuk Yap Yong Leong berkata, replika itu menjadi simbolik kepada tahun ular yang diraikan masyarakat Tionghoa pada tahun ini juga.

Jelasnya, terdapat satu lagi replika ular yang dihias cantik diletakkan berhampiran kolam buatan.

Katanya, seperti tahun sebelum ini kesepakatan dalam kalangan penduduk setempat membawa kepada kejayaan menyiapkan hiasan di kampung itu yang bukan sahaja ditunggu-tunggu masyarakat sekitar tetapi juga pengunjung luar Melaka.

Whatsapp Image 2025 01 27 At 12.20.23 Pm
PENGUNJUNG bergambar di laluan dihiasi tanglung.

Dia memberitahu pada tahun ini pihaknya masih mengekalkan penggunaan barangan kitar semula bagi hampir keseluruhan hiasan.

“Kita masih mengekalkan penggunaan barangan kitar semula seperti tin minuman, botol minyak masak dan tayar, ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang amalan kitar semula yang banyak manfaatnya.

“Daripada barangan terbuang ia boleh digunakan untuk dijadikan hiasan malah menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui di Kampung Permai Machap Umboo.

Yong Leong berkata, penduduk berasa puas kerana bukan sahaja berjaya menyiapkan hiasan bersempena sambutan Tahun Baru Cina, sebaliknya menjadikan kampung itu sebagai lokasi tumpuan masyarakat berbilang kaum.

“Seperti tahun-tahun sebelum, bukan sahaja masyarakat Cina yang datang untuk bergambar tetapi juga orang Melayu, India serta pelbagai lagi, ini menunjukkan harmoninya masyarakat kita.

“Selain itu juga, inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan Machap Umboo kepada orang luar apabila hampir setiap malam akan ada bas pelancong yang singgah,” katanya.

Menurutnya, besar hadapan semoga pada tahun ini kampung berkenaan diangkat sebagai pemenang pertandingan keceriaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Khas untuk pengunjung bertuah juga pada tahun ini kita turut menyediakan sebuah motosikal menerusi pertandingan fotografi terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
Kongsi :
Previous post NILAI KERUGIAN AKIBAT KEBAKARAN DI MELAKA MENURUN
Next post LELAKI JATUH BOT DI ROMPIN DITEMUKAN LEMAS