Replika kereta lembu simbolik junjung warisan
MERLIMAU 7 Sept. – Kereta lembu memang begitu sinonim dengan Negeri Melaka bahkan ia menjadi ingatan masyarakat memandangakan kereta lembu merupakan
pengangkutan utama yang menjadi lambang kemegahan di Melaka suatu masa dahulu.
Diperkenalkan oleh saudagar India ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, kereta lembu pada dasarnya terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, roda, gandar dan kajang namun kini ia hanya tinggal kenangan dan jika ditanya generasi hari ini, tidak mustahil ada yang tidak mengenali pengangkutan tradisional ini.
Bertitik tolak daripada itu dan bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara ke-63 tahun maka Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Solok Kilang Berapi, Merlimau mengambil inisiatif membina replika kereta lembu mengikut ukuran sebenar secara bergotong royong sejak sebulan lalu dengan kos dibiayai oleh pertubuhan itu sendiri serta sumbangan beberapa individu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Roslan Ahmad yang turut meluangkan masa melawat replika kereta lembu tersebut kagum terhadap usaha ditunjukkan golongan belia dan penduduk kampung tersebut yang berusaha memelihara salah satu daripada warisan Negeri Melaka.
“Warisan dan budaya tanah air adalah khazanah tidak ternilai yang mesti dilindungi dan dipelihara, supaya terus menjadi kebanggaan semua.
“Ia bakal menjadi tatapan generasi seterusnya, kerana tamadun serta aspek sejarah yang lampau amat penting dalam pembentukan identiti bangsa dan negara.
“Bahkan replika yang ditempatkan di Taman Deretan Merlimau dekat sini berbangga kerana memiliki sekumpulan belia yang sudi untuk mengabadikan warisan tersebut untuk tatapan generasi muda hari ini,” kata Roslan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, Setiausaha Japerun Merlimau, Muslihin Muhamad; Pengerusi JPKK Merlimau Barat, Mohd Hisam A. Rahim; Pengerusi MGBD Jasin, Zaini Muhamad merangkap Pengerusi GB4B Solok Kilang Berapi serta barisan ahli dan jawatankuasa pertubuhan tersebut.