Rentas pelancongan antara negeri PKPP namun bersyarat

Masa Membaca:56 Saat

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain bermula esok dengan syarat ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, syaratnya ialah perlu menggunakan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan kementerian itu.

Beliau menegaskan pergerakan menggunakan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.

“Syarikat agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri dan perjalanan mestilah terus ke kawasan PKPP.

“Ini ada dua keadaan satu negeri PKPP ke PKPP, sebagai contoh (pelancong) Pahang PKPP dan Terengganu PKPP. Jadi pergerakan terus ke negeri PKPP,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan PKPP dan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika perjalanan itu terpaksa melalui negeri PKP Bersyarat (PKPB), maka hanya dibenarkan terus ke PKPP.

“Kenderaan ini mesti meneruskan perjalanan terus ke kawasan PKPP tanpa berhenti di PKPB.

“Jadi sebab itulah kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan kerana kita mendapat nasihat daripada PDRM agak sukar dari segi kawalan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post Sulaiman tinjau Empangan Durian Tunggal
Next post Pulau Langkawi tukar status PKPP berkuat kuasa esok
Ubah saiz-+=