Rentas Melaka demi asam pedas

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 11 Okt – Sebuah keluarga sanggup menempuh perjalanan lebih 130 kilometer dari Cheras, Kuala Lumpur ke Melaka semata-mata untuk merasai keenakan menu asam pedas.

Menurut ketua keluarga yang enggan dikenali, lebih 10 bulan menantikan mereka amat bersyukur apabila kerajaan membenarkan rentas negeri mulai hari ini.

Justeru katanya, sebaik mendengar pengumuman itu, dia terus merancang untuk membawa keluarga termasuk ibunya untuk berkunjung ke Melaka bagi merasai keenakan makanan ikonik itu.

“Kami sekeluarga bertolak dari Cheras pada jam 11 pagi tadi sebelum tiba di Plaza Tol Ayer Keroh kira-kira dua jam kemudian.

“Memang kami sudah lama mengidamkan untuk merasai masakan asam pedas Melaka dan peluang rentas negeri dimanfaatkan sepenuhnya pada hari pertama.

“Kebetulan saya bercuti hari ini, jadi kami sekeluarga datang ke Melaka untuk menikmati keenakan masakan asam pedas,” katanya ditemui pada pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol berkenaan.

Menurutnya, selain menikmati keenakan menu asam pedas, mereka akan bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya menjalankan pemeriksaan di SJR berkenaan bagi meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan hanya individu lengkap dua dos suntikan vaksin merentas negeri.

Sementara itu, bagi Mohamad Fazly Somad, 26, pengumuman kerajaan rentas negeri amat dinantikan selepas lebih 10 bulan tidak dibenarkan keluar bebas dari kampung halaman di Simpang Renggam, Johor.

“Saya ambil cuti seminggu semata-mata hendak bercuti di negeri ini, biarpun seorang diri janji saya keluar sekejap untuk tenangkan fikiran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

923
Kongsi :
Previous post Kedatangan pelancong ke Melaka dijangka pulih 75 peratus – Exco
Next post PRN Melaka: Polis jamin keselamatan rakyat diutamakan
Ubah saiz-+=