Remy Ishak kini bergelar Datuk

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Pelakon popular tanah air Remy Ishak dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam Ke-75.

Remy atau nama sebenar beliau Mohammad Zalimei Ishak yang juga anak kelahiran Melaka, menerima anugerah itu yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada sesi kedua istiadat penganugerahan berlangsung di Dewan Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Terdahulu pada Istiadat sama bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim mendahului senarai 352 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.

Dr. Irmohizam bersama dua lagi penerima yang juga ahli perniagaan iaitu Datuk Seri Lim Yeow Siong dan Datuk Seri Dr. Shum Che kok dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Manakala, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh mendahului senarai 10 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Turut dianugerahkan DCSM adalah mantan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Wira Zainal Abu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, pula mendahului senarai lima penerima bagi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan DMSM adalah Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil pula mendahului senarai 60 penerima DPSM yang juga membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan DPSM adalah Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.

Darjah Seri Melaka (DSM) pula dianugerahkan kepada 20 penerima, diikuti 32 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan seramai 66 penerima dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

Seramai 104 penerima pula dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 48 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan tiga penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Terdahulu pada sesi pertama, pagi tadi, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengetuai senarai 299 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1477
Kongsi :
Previous post Melaka International Swim, Bike & Run 2024 makin meriah
Next post Tumpu empat pintu masuk, elak penularan M-pox
Ubah saiz-+=