Rempuh pokok bakau untuk loloskan diri

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LINGGI 17 Mei – Cubaan menyeludup masuk 4.27 juta batang rokok kretek dianggarkan bernilai RM2.95 juta berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor, jam 1.30 pagi, 15 Mei lalu.

Pengarah Maritim Malaysia, Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Iskandar Ishak berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai pergerakan bot mencurigakan di laluan ‘Traffic Separation Scheme’ (TSS) daripada Sistem Pengawasan laut Malaysia (SWASLA) jam 11.40 malam pada 14 Mei.

Katanya, susulan itu bot Maritim Malaysia sedang menjalankan Op Murni/Op Tiris diarahkan ke lokasi dan berjaya mengesan sebuah bot pancung warna kelabu tanpa nombor pendaftaran, dilengkapi enam enjin dipercayai dinaiki tiga individu.

“Kami mengejar bot berkenaan selama 20 minit, dipercayai terdesak untuk meloloskan diri, tekong bertindak merempuh pokok di kawasan paya bakau sebelum terjun dan melarikan diri.

“Usaha mengesan suspek juga berdepan kesukaran berikutan keadaan gelap selain persekitaran paya bakau yang berlumpur.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati bot berkenaan membawa 400 kotak besar dibungkus menggunakan plastik mengandungi rokok kretek pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-05-17 at 12.27.19 PM

BOT pancung dilengkapi enam enjin digunakan sindiket penyeludupan.

Iskandar berkata, keseluruhan rampasan membabitkan rokok, enam unit enjin dan bot pancung dianggarkan bernilai RM3.15 juta dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, rokok berkenaan adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejayaan mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM3.3 juta April lalu.

Bot membawa rokok dari Indonesia itu berjaya dipintas dan ditahan Maritim Malaysia di perairan muara Tanjung Gabang.

Hasil pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran, menemukan 455 kotak bersaiz besar mengandungi rokok kretek dan ditutup dengan kain kanvas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1556
Kongsi :
Previous post MBMB selaraskan pelaksanaan zon bebas kenderaan di Banda Hilir
Next post ‘Port OOTD’ ala filem Avatar di Air Terjun Sebukor
Ubah saiz-+=