
REMAJA SERTAI LARIAN MAHU RASA SUASANA DI KAMPUNG
TANJUNG BIDARA 17 Februari – Mahu menikmati suasana kampung, antara faktor Mohamad Syazzuan Shah Abdullah, 17, menyertai acara Merentas Desa dan Fun Walk sempena Majlis Penutup Karnival Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025, di Pantai Tanjung Bidara, semalam.
Mohamad Syazzuan yang mula aktif berlari sejak setahun lalu berkata, meskipun jarak larian cuma lima kilometer (km), namun dia berasa amat puas dan teruja kerana dapat menikmati suasana kampung pada waktu pagi.
“Berlari melalui kawasan kampung lebih menarik, dapat lihat pemandangan indah, berbeza dengan penyertaan pada ‘half marathon’ sejauh 21 km.
“Walaupun bukan bertaraf marathon, trek ini boleh dikatakan agak mencabar terutama ketika melakui kawasan berbukit, jadi perlu juga ada stamina,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.
Dia juga berpuas hati dengan pencapaiannya pada penganjuran itu apabila merangkul tempat kedua bagi kategori bawah 16 lelaki.
Menurutnya, sentiasa mengamalkan senaman dan mengambil makanan yang sihat antara petua yang diamalkan bagi meningkatkan stamina.
“Saya makan seperti biasa dan sebagai tambahan turut mengambil minuman protein selain bersenam senaman setiap hari. Insya-Allah jika ada lagi acara begini saya akan sertai kerana ia dapat menyihatkan tubuh badan kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.