Sorting by

×

Remaja selamatkan kucing terperangkap banjir di Lubok China

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER LIMAU 18 Dis – Tiga ekor kucing yang terperangkap dalam banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok China, di sini, diselamatkan dua remaja.

Hafizudin Fahim Akmal Hashim, 17, dan rakan sebayanya, Abdul Hakim Johari menyedari tiga ekor haiwan itu terperangkap di surau yang dinaiki air ketika membantu mangsa banjir di kampung itu.

“Rumah kami tidak kena banjir dan kami pusing keliling kampung dengan motosikal untuk membantu mangsa banjir.

“Tiba-tiba saya teringat ada tiga ekor kucing di surau dan kami terpaksa meredah air setinggi kira-kira 1.3 meter sebelum tiba di surau untuk menyelamatkan kucing yang berlindung di atas almari pada jam 10 pagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, mangsa banjir, Yusof Hassan, 70, yang ditemui mengakui masih trauma apabila mengingatkan kejadian banjir yang hampir meragut nyawa cucunya, Nurul Natasha Umaira, 21 Okt lalu.

YUSOF mengharung air di halaman rumah jirannya di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina.

Yusof berkata, dalam kejadian itu, Nurul hampir lemas selepas dibawa arus deras di halaman rumahnya.

Ketika kejadian, cucunya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina itu menuruni tangga hadapan rumah tetapi terjatuh ke dalam air.

“Dia dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira tiga meter tetapi amat bernasib baik kerana tersangkut pada tiang elektrik sebelum berjaya saya selamatkan.

“Kejadian itu meninggalkan kesan hitam dalam hidup cucu saya dan saya tidak mahu ia berulang lagi awal pagi tadi,” katanya.

Disebabkan itu, apabila berulangnya kejadian banjir kali ini, dia segera mengarahkan anak dan dua cucunya berpindah ke tempat selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri
Next post Semua usul UMNO Bahagian akan diteliti kepimpinan tertinggi, MT – Zahid
Ubah saiz-+=